BulatanKami
This is an example of a HTML caption with a link.

Hari ini dalam Sejarah | Tragedi Sabra dan Shatila 1982



Bagi rakyat Malaysia, tanggal 16 September adalah tarikh penting menandakan terbentuknya sebuah negara berdaulat bernama Malaysia dan terbebasnya wilayah Sabah dan Sarawak dari penguasaan penjajah. Namun, bagi rakyat Palestin, pada tarikh yang sama tahun 1982, satu peristiwa tragis telah menimpa mereka yang amat jelas menunjukkan PENGKHIANATAN dunia kepada rakyat Palestin.

*****
Mengalirnya darah insan tidak berdosa di Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat manakala Shatila pula adalah pusat perlindungan untuk pelarian Palestin sejak 1949 lagi. Menjelang 1949 sahaja, sudah ada lebih 100 000 pelarian Palestin yang berada di Lebanon termasuk Shatila dan bilangannya terus bertambah sehingga sekarang. Sabra dan Shatila adalah berhampiran dan interaksi yang berlaku antara penduduk Lebanon di Sabra dan pelarian Palestin di Shatila menyebabkan kejiranan itu secara tidak rasmi dikenali sebagai ‘Kem Sabra dan Shatila’.

*****
PLO dan Kumpulan Militia Phalangists

Palestine Liberation Organisation(PLO) ditubuhkan pada tahun 1964 sebagai badan induk yang memayungi beberapa pertubuhan lain dalam usaha membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari Zionis Israel. Pada 1969, Perdana Menteri lebanon telah memberi kebenaran kepada pihak PLO untuk menjadikan Lebanon sebagai pengkalan operasi menentang Israel. Pejuang PLO semakin bertambah menjelang awal 70-an apabila pejuang PLO di Jordan diusir. Perkara ini telah merunsingkan Israel dan juga telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan dengan penduduk dan kumpulan militia tempatan khususnya kumpulan Phalangists. Beberapa siri serangan telah dilakukan oleh PLO ke atas Israel melalui selatan Lebanon yang mengentarkan Israel sehingga memaksa mereka melakukan serangan balas.

*****
6 Jun 1982 - bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila.

Bagi menghentikan serangan dari selatan Lebanon khususnya dari PLO, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan balas sehinggalah pada 6 Jun 1982, bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila apabila Israel menghantar sekitar 60,000 tentera memasuki Lebanon untuk menghapuskan PLO. Walaupun mendapat ‘kecaman’ dari Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Israel dengan dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk kumpulan militia Phalangists berjaya memasuki Lebanon dan menjelang 18 Jun 1982, mereka sudah berjaya mengepung pejuang PLO di Beirut Barat.

*****
Gencatan senjata dan PENGKHIANATAN

Kepungan berterusan oleh Israel yang berlarutan selama hampir 2 bulan telah menimbulkan kerisauan berlakunya bencana kemanusiaan yang besar jika Israel melancarkan serangan terhadap pejuang PLO serta penduduk setempat. Atas ‘usaha dan perantaraan’ wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara Israel dan pejuang PLO.

Antara perjanjian yang dipersetujui adalah pejuang dan pegawai-pegawai PLO perlu meletakkan senjata, meninggalkan bumi Lebanon dan menutup serta menghentikan semua operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran atau lebih tepatnya PROSES PENGUSIRAN ini dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa(Amerika Syarikat, Itali dan Perancis) dan mereka dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari tarikh ketibaan mereka. Mereka juga BERTANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KESELAMATAN penghuni kedua-dua kem tersebut termasuk ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan Shatila. Di pihak Israel pula, mereka BERJANJI tidak akan meneruskan kemaraan mereka ke Beirut.

*****
Janji untuk dikhianati!!!

Pengunduran pejuang PLO yang bermula pada 24 Ogos 1982 itu selesai sepenuhnya menjelang 1 September 1982. Pengkhianatan bermula apabila Israel mula menempatkan tenteranya di sekeliling kedua-dua kem tersebut 2 hari selepas pengunduran pejuang PLO selesai. Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa pula melaksanakan peranan mereka dan mula meninggalkan kawasan tersebut lebih awal dari yang dijanjikan!!!

*****
Dunia menyaksikan pembunuhan ini.

Drama pembunuhan ini semakin jelas apabila pada 11 September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu ‘mengisytiharkan’ terdapat seramai 2 000 ‘pengganas’ Palestin yang bersembunyi di kalangan pelarian di khemah-khemah pelarian sekitar Beirut. Bermula pada 15 September, sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi sekutu kuat Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan mengepung kem Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15 September itu, seluruh penempatan telah dikepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Pos-pos kawalan tentera didirikan bagi memantau pergerakan penduduk di dalam kem.

Tanggal 16 September adalah tarikh yang tidak akan dilupakan. Sepasukan tentera Phalangists sekitar 150 orang mula memasuki kem Sabra dan Shatila dan tragedi bermula.

Dunia menyaksikan untuk tempoh 40 jam kemudian, tentera Phalangists ini merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang awam yang TIDAK BERSENJATA. Kebanyakan mangsa adalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Bagaikan neraka, rakyat awam tiada jalan keluar akibat kepungan kukuh oleh tentera Israel. Keganasan tentera Phalangists ini berterusan sehingga 18 September 1982.

Jumlah angka korban adalah antara 700(angka rasmi Israel) hingga 3500 orang. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang telah dihukum atas keganasan terancang ini bahkan disokong oleh beberapa kerajaan lain.

*****
Dunia terus membisu

Dengan 4000 angka kematian yang sibuk dilaungkan oleh Amerika Syarikat akibat ‘serangan pengganas’ 11 September 2001 terhadap Pusat Dagangan Dunia(WTC), mereka telah melancarkan ‘kempen peperangan menentang keganasan’ yang telah memusnahkan dua buah negara - Afghanistan dan Iraq, yang sehingga kini TIDAK MENEMUI sebarang bukti sahih untuk mengaitkan pengganas dengan tragedi tersebut. Dan kempen ini masih diteruskan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan kem Sabra dan Shatila ini. Jelas, yang terbunuh adalah dari kalangan wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersenjata, dan yang lebih menyayat hati adalah mereka dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat PERLINDUNGAN ANTARABANGSA melalui jaminan yang ditaja sendiri oleh Amerika Syarikat, dan peristiwa ini berakhir seperti tiada apa yang berlaku.

Permainan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam ‘misi keamanan’ yang dilancarkan mereka lebih jelas kalau kita lihat dari siri-siri pembantaian rakyat awam seperti kes di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya dan lain-lain. Peranan mereka sebagai pembantu dalam ‘menghapuskan keganasan’ seperti dihalalkan oleh seluruh pemimpin negara Islam apabila tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka begitu juga dengan Konferens Organisasi Islam(OIC).

*****
Peranan kita

Tragedi berdarah Sabra dan Shatila ini akan terus diingati bagi mereka yang merasakan semua mangsa terbabit itu ialah saudara-mara mereka. Tragedi ini hanya satu bahagian kecil daripada siri-siri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Peranan kita adalah untuk terus membongkar siri-siri kekejaman Israel ini dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya untuk kita membebaskan cengkaman Israel terhadap negara Palestin keseluruhannya.

Sumber: Al-Aqsa Dalam Bahaya, Dr Maszlee Malik [AKA]
READ MORE