BulatanKami
This is an example of a HTML caption with a link.

Isu Dr Asri dan Ust Kazim: Setia dengan kebenaran

Saya baru selesai menonton video rakaman rancangan Pentas Dakwah yang disiarkan secara langsung Selasa lepas di TV al Hijrah.

Menampilkan Al-Fadhil Al-Ustaz Sohibus Samahah Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin(Mufti Perlis), al-Ustaz Dato' Kazim Elias(Pendakwah bebas) dan al-Ustaz Dr Asyraf Wajdi Dasuki(Yang dipertua YADIM) hafizuhumullah.

Tajuk yang diletakkan bagi forum ini ialah "Carik carik bulu ayam", yang dibawa rentetan perbezaan pendapat antara Dr Asri dan Ustaz Kazim.

1. Perlu ditegaskan di sini, ketiga-tiga tokoh ini mempunyai aura, kekuatan, sumbangan dan kelemahan tersendiri. Oleh sebab mereka bukan maksum, maka mereka tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan dalam berkata-kata dan bertindak tanduk.

2. Kita fokus pada kesalahan, bukan pelaku salah. Maka, kita tidak sepatutnya merendahkan sesiapa, apatah lagi seorang ilmuan yang banyak jasa dan sumbangannya dalam mendidik masyarakat. Janganlah hanya kerana satu dua kesalahan, kita lupakan ratusan kebaikan yang telah beliau titipkan untuk maslahah agama dan negara.

3. Kepelbagaian yang wujud dalam golongan pendakwah hakikatnya adalah satu rahmat, kerana mereka sebenarnya saling melengkapi satu sama lain, dalam menghadapi target masyarakat dan kumpulan yang berbeza.

4. Perbezaan itu sendiri adalah lumrah kehidupan, kerana manusia mempunyai "free-will" atau kebebasan memilih, yang menjadikan wujudnya perbezaan yang kadangkala agak ketara.

5. Walau bagaimanapun, yang penting untuk kita fokus bukanlah perbezaan itu, tetapi bagaimana hendak menguruskan perbezaan itu.

6. Di sinilah betapa penting yang untuk berpegang teguh dengan panduan asas dan utama agama, iaitu Kitab dan as Sunnah. Semua perkataan atau kata-kata boleh diterima dan boleh ditolak, seperti kata Imam Malik bin Anas r.a, kecuali firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.

7. Harapan peribadi saya agar diskusi dan wacana yang melibatkan para ilmuan agama dan asatizah dibanyakkan lagi, bagi menyemarakkan lagi dakwah dan islah berteraskan ilmu dan hujah di Malaysia.

8. Dinukilkan kata Imam As Syafi'e yang disebut oleh Dr Asri, maksudnya:
"Aku tidak pernah berbicara kepada seorangpun melainkan aku berharap agar dia ditetapkan dan ditolong dalam mencari kebenaran, serta menjadikan pembicaraanku tadi sebagai petunjuk dan bimbingan Allah kepadanya. Dan aku tidaklah peduli – saat berbicara pada seseorang – apakah Allah akan memberikan kebenaran melalui lisanku atau lisan orang lain” (Kitab Adab asy-Syafi’e wa Manaqibuhu oleh Ibnu Abi Hatim)

9. Selain itu, ukhuwah antara para pendakwah, tidak kiralah dari pihak mana, mahupun bebas, hendaklah terus menerus dijaga malah dikuatkan. Tautan hati para du'at ini tidak dapat dicapai, melainkan dengan pembersihan jiwa untuk saling mencintai satu sama lain kerana Tuhan dan aqidah yang satu.

"Akhlak | Khidmat | Ukhuwah"

Raja Ahmad Kamil Raja Sulaiman
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah,
IKRAM Siswa Nasional
READ MORE

Erti hidup pada setia dengan kebenaran


Oh, kau petik pendapat Ibn Taimiyah? Wahabi kau ni!”, kata si A kepada sahabatnya dalam kelas fiqh 1.
Kenapa hang tak nak join PAS? Pelik semacam aku tengok hang ni, macam dah terpengaruh dengan gang liberal je”, kata si B kepada kawannya semasa perjalanan pulang dari himpunan kebangkitan rakyat.

Artikel ini dimulakan dengan kata-kata sedemikian dengan harapan para pembaca dapat berfikir apa kaitannya dengan tajuk yang diberikan.

Walau apa jua idea atau persoalan lain yang mungkin timbul, itu tidak penting, yang penting kita rajin untuk berfikir. Sebab, ada sesetengah orang yang tak rajin berfikir, hanya suka mengikut orang lain tanpa pemahaman atau menuruti nafsunya sesuka hati.
READ MORE

Rotan: Mendidik bukan mendera


Sehari dua ini tiba-tiba heboh berkenaan isu rotan lantaran laporan media yang menukilkan kata-kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyebut merotan anak boleh menjadi satu jenayah menerusi akta baru yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh masyarakat, yang kelihatannya majoriti membantahnya. Ada juga pihak yang dilihat cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan menurut ajaran Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah tentang sifat Islam sebagai rahmat ke seluruh alam itu sendiri.

Lebih parah lagi, kenyataan seperti itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang mengajar keganasan. Saya ingin menyebut beberapa perkara sebagai pandangan peribadi terhadap isu ini.
READ MORE

Usah berenang di permukaan, masuk ke dalam!


Coretan ini ditulis bagi memberikan sedikit ulasan terhadap beberapa isu dan peristiwa yang berlaku dalam dunia akhir zaman ini, pastinya menjadi bualan masyarakat.

Dalam dunia yang menghampiri saat kehancuran, kita semakin pening dan bercelaru melihat gelagat manusia yang pelbagai. Sehingga, ada insan yang hilang kepercayaan kepada makhluk berakal ini kerana pengalaman yang sangat memeritkan lagi menyakitkan bersama manusia yang bermuka-muka.

Biarlah aku dengan tuhanku!”, jeritnya. Kita yang tidak ingin memahami mungkin memandangnya sebagai terlalu idealistik atau tidak realistik dalam hidup di alam nyata ini. Namun, tahukah atau fahamkah kita akan apa yang telah dilaluinya sehingga dia jadi begitu? Atau, bahasa mudahnya kenapa dia jadi macam tu?
READ MORE

Filem PK: Kritik agama asas reformasi?

Filem PK atau Peekay adalah bahasa hindi/urdu yang membawa maksud telah minum yakni mabuk. Filem ini telah menimbulkan kontroversi terutama di negara yang menerbitkannya iaitu India, kerana filem ini bergenrekan kritik agama dan sosial yang dianggap mengguris perasaan penganut agama Hindu bagi kelompok yang menentangnya.

Namun, setakat pemerhatian penulis dalam debat atau komen di internet, kebanyakan atau mungkin boleh kata majoriti merasakan filem itu okay, walaupun pastinya ada kritikan atau teguran yang boleh diberikan kepadanya. Mana ada filem atau drama yang sempurna kerana penerbit dan pelakonnya bukanlah sempurna.

Antara gagasan utama dalam cerita ini adalah “wrong number” yang dianalogikan sebagai usaha kita ingin menghubungi(call) tuhan tetapi rupanya yang kita hubungi ialah ‘tuhan yang salah’, yang mana ia bersangkutan dengan eksploitasi agama yang orang berautoriti dalam agama mempergunakan agama dan memperbodohkan masyarakat dengan mendakwa mampu bercakap secara terus dengan Tuhan, dan menggunakan agama untuk pendapatan diri.

Malah, ada yang menanam dogma bahawa agama dan ajarannya suci dan sempurna sehingga ‘alergik’ dengan soalan yang didakwanya ingin mencemarkan kesucian agama. Oleh sebab itu, masyarakat dalam filem berkenaan terkejut tatkala dikatakan tuhan tak boleh ditanya soalan.
Oleh sebab itu, ditekankan akan kepentingan untuk beragama(baca: mengabdikan diri kepada Tuhan) dengan akal yang sihat(baca: berfikiran kritikal untuk tanya soalan). Ada kelompok yang menganggap cerita ni ancaman kepada agama-agama termasuk Islam. Mereka yang berkepentingan mungkin rasa terancam. Hal ini kerana sesungguhnya akal dan naqal(wahyu) itu harmoni dan bukan ‘bermusuhan’.

Dalam Islam misalnya, bukanlah satu kesalahan untuk bertanya soalan, lebih-lebih lagi ia bersangkut paut dalam perkara asas dalam mencari kebenaran. Sejak bila wahyu dan akal itu berkonflik? Yang masalahnya ialah orang yang tak menggunakan akal dalam belajar agama, bak kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Mana mungkin kita nak memahami ajaran agama kalau tak menggunakan akal?

Orang agama yang menjadi jurucakap kepada agama mesti bersikap jujur dalam menjawab soalan orang ramai yang inginkan pencerahan dan sabar terhadap telatah mereka yang bermacam ragam. Bukannya dimaki atau dituduh musuh agama hanya kerana mereka tidak mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan. Apabila anak muda dilayan dengan buruk oleh golongan ini, maka tidak hairanlah mereka memberontak dan menolak agamawan dalam memahami agama dan its essence kerana terdapat banyak buku yang boleh dibaca.

Satu lagi perkara yang ingin disebutkan di sini ialah berkenaan bidang perbandingan agama yang seringkali dipandang oleh sebahagian Muslim dengan persepsi yang negatif. Kata-kata seperti “Agama sendiri pun tak habis belajar lagi, sibuk nak belajar agama lain”, atau “Buat apa belajar agama lain, fokus la belajar agama sendiri dulu” dan sengangkatan dengannya biasa ditimbulkan oleh mereka yang tidak senang dengan trendmempelajari agama lain.

Maka, kursus atau program seperti Friendly Comparative Religion (FCR), Interactive Dakwah Training (IDT) dan sebaris dengannya dilemparkan tuduhan oleh segelintir orang sebagai agenda liberal dan sebagainya. Kenapa sampai begitu jadinya? Dahsyatnya impak kongkongan dan pemenjaraan minda oleh orang agama dan politik sampai begitu sekali.

Secara peribadi, saya berpendapat agar adanya subjek mempelajari secara umum tentang agama lain dalam pendidikan kita. Maknanya kita belajar agama lain, penganut agama lain juga sama. Sebabnya apa? Pada pandangan saya, belajar agama lain pada perspektif Muslim bukan sahaja untuk digunakan dalam kita berbahas untuk dakwah kepada orang bukan Islam, tetapi ia juga secara tak langsung memantapkan aqidah dan keyakinan kita dalam beragama untuk lebih setia dengan kebenaran, berbanding menerima bulat-bulat(taqlid) apa yang diajar sejak kecil tanpa berani berfikiran kritikal untuk mempertahankan pegangan itu lebih-lebih lagi apabila diserang oleh orang bukan Islam, atau mungkin Muslim sendiri.

Dalam konteks filem ini, kita boleh nampak bagaimana dalam perjalanan PK mencari tuhan yang sebenar untuk dia meminta pertolongan mencari alat kawalannya, setelah orang ramai yang ditemuinya berkata tak mampu tolong dia dan hanya Tuhan yang mampu.

Konsep dua sayap harapan(hope) dan amaran(fear) pun ada disampaikan/ditunjukkan dalam gambaran keseluruhan sosio-budaya masyarakat India, yang secara tak langsung membantu dalam memahami hakikat kehidupan ni.

Kita yang beragama Islam, memang yakin dengan kebenaran Islam. Namun, itu sama sekali tidak bererti kita tidak memerlukan lagi petunjuk, benar? Saban hari kita memohon kepada Allah dalam solat agar beri hidayah dan petunjuk kepada jalan yang benar. Berada di jalan yang benar tidak menjamin kita kekal di atasnya, mungkin terbabas tatkala ada perkara yang bermain dalam fikiran gagal dijawab. Dan, hidayah itu sendiri ada peringkat dan kedudukannya sendiri. Hari demi hari berlalu, kita mendambakan diri menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik, agar kita mati dengan husnul khatimah(good ending) dan ia kedudukan terbaik kita di sisi Allah.

Benda paling tersentuh yang PK sebut pasal dua jenis Tuhan:
1. Tuhan ciptaan manusia
2. Tuhan yang mencipta manusia

Bukan tuhan yang manusia cipta tu yang dia nak sembah, tapi tuhan yang cipta manusia. Brother Shah Kirit ada sebut dalam group whatsapp benda ni kita boleh reflect dengan kalimah “Tiada tuhan melainkan Allah” iaitu tiada tuhan (ciptaan manusia) kecuali Allah (yang cipta manusia).

Ada yang mengkritik filem ni seolah-olah mengajar kita agar tak beradab dengan orang yang berautoriti dengan orang agama. Semestinya adab perlu dijaga. Cumanya, point ni ada kaitan dengan artikel yang bakal aku publish nanti berkaitan manusia yang sihat akalnya akan memberontak.
pk
Gambar di atas ini ialah sedutan babak yang paling menarik yang menggabungkan tema politik, agama dan budaya. Antara dialog yang menarik ketika babak ini ialah, sami berkenaan berkata”Kami boleh lindungi tuhan“, lalu dibalas oleh PK dengan berkata “Korang nak lindungi tuhan? Dunia ni sangat luas, entah berapa banyak lagi tempat luar bumi ni yang korang tak tahu, korang nak lindungi tuhan?”

Satu lagi antara babak yang menarik apabila di gereja, orang di sana berkata, “Tuhan(Jesus) telah datang untuk menebus dosa kau”, lalu dibalas oleh PK, “Apa dosa aku? Aku baru saja sampai ke sini(bumi)

Debat berkaitan filem PK dalam media di India beberapa hari lepas yang cukup hangat, dengan 6 panelis dan ditambah pula dengan pengacara yang agresif. Bagi mereka yang berminat dengan debat, boleh observe macam mana pengacaranya manipulasi debat ni.

Untitled
Ada beberapa isu atau persoalan utama yang dapat disebut di sini:
1. Protes aman vs vandalisme – Siapa sebenarnya yang melampaui batas?
2. Demokrasi – Sejauh manakah kita memahami dan mengamalkannya?
3. Perundangan negara vs kalam orang agama – Manakah lebih berautoriti?
4. Sekatan vs kebebasan – Bagaimana kita nak kendalikannya terutama kehidupan masyarakat yang majmuk? Ada yang boleh, ada tak boleh?
5. Sensitiviti agama & kaum – Apakah batasan dalam kritik sosial & agama?

Bagi yang ingin mengikuti debat ini, boleh klik berikut:https://www.youtube.com/watch?v=m6wQIZ-syXY

Apa yang boleh kita belajar daripada budaya di India ialah keterbukaan media mereka(walaupun ada kepentingan atau sebab tertentu) untuk mewacanakan sesuatu isu atau perkara demi mendidik masyarakat, menghargai akal dan pemikiran mereka dan memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara.
Maka, akhir kalam, filem ini sangat dianjurkan untuk ditonton oleh umat Islam, dengan pelbagai sebab. Paling mudahnya, sebagai muhasabah dalam kita beragama. Sejauh mana kita yakin dengan kebenaran Islam dan setia dengannya.

Proses ke arah melakukan perubahan dalam menjadikan dunia yang lebih baik adalah antara lain bermula dengan melakukan reformasi dalam cara keberagamaan, yang akan menghasilkan seorang insan yang bersifat holistik dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta tidak mementingkan diri sendiri.

Moga Allah sentiasa beri kita petunjuk untuk kekal setia dengan kebenaran hingga ke akhir hayat.

Diakhiri coretan ini dengan firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
وَكَذَٲلِكَ نُرِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ مَلَكُوتَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلِيَكُونَ مِنَ ٱلۡمُوقِنِينَ (٧٥) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيۡهِ ٱلَّيۡلُ رَءَا كَوۡكَبً۬ا‌ۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَآ أُحِبُّ ٱلۡأَفِلِينَ (٧٦) فَلَمَّا رَءَا ٱلۡقَمَرَ بَازِغً۬ا قَالَ هَـٰذَا رَبِّى‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَٮِٕن لَّمۡ يَہۡدِنِى رَبِّى لَأَڪُونَنَّ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلضَّآلِّينَ (٧٧) فَلَمَّا رَءَا ٱلشَّمۡسَ بَازِغَةً۬ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى هَـٰذَآ أَڪۡبَرُ‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَتۡ قَالَ يَـٰقَوۡمِ إِنِّى بَرِىٓءٌ۬ مِّمَّا تُشۡرِكُونَ ٧٨) إِنِّى وَجَّهۡتُ وَجۡهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ حَنِيفً۬ا‌ۖ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
Maksudnya: “Demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan yang ada di langit dan di bumi, agar dia termasuk orang-orang yang yakin. Ketika malam telah gelap, dia melihat bintang, lalu berkata, ‘Inilah tuhanku’. Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata, ‘Aku tidak suka pada yang tenggelam’. Kemudian ketika dia melihat bulan terbit, dia berkata, ‘Inilah tuhanku’. Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata, ‘Sesungguhnya jika tuhanku tidak memberi petunjuk padaku, pasti aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata, ‘Inilah tuhanku, ini lebih besar’. Tatkala matahari itu terbenam, dia pun berkata, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kalian persekutukan! Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang menyekutukan-Nya.” – Surah al-An’am, ayat 75-79

*Penulis ialah Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman, Ikhwah UIA Kuantan yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Siswa Nasional dan Pengarah strategi Hidayah Centre Pahang.
READ MORE

Selamat maju jaya untuk peperiksaan akhir semester!

1510662_899391253412986_1915237441350881047_n

 

IKRAM Siswa UIAM Kuantan mengucapkan selamat maju jaya kepada mahasiswa UIAM Kuantan menjelang peperiksaan akhir semester yang bakal bermula hari jumaat ini.

Manfaatkan tempoh yang berbaki ini untuk mengulangkaji pelajaran yang telah ditimba.

Moga kita dapat menjawab dengan tenang dan hikmah, serta memperoleh keputusan yang baik untuk masa depan ummah yang lebih cerah.

Amin ya rabbal ‘alamiin.

READ MORE

Ilmu banyak, perangai buruk?

Dewasa ini, kita dapat melihat fenomena hilangnya kemuliaan akhlak sebahagian manusia, yang turut melibatkan umat Islam. Perkara ini sememangnya membuatkan kita bimbang dengan realiti pada hari ini. Sedangkan, akhlak adalah medium dakwah yang paling utama, lebih-lebih lagi bagi umat Islam.
Namun, ada satu perkara yang juga tidak kurang seriusnya, iaitu mereka yang mempunyai ilmu yang boleh dikatakan banyak, namun entah di mana silapnya, ada sebahagian daripada mereka mempunyai akhlak yang buruk.
READ MORE

Mempertahankan hadith sebagai autoriti

Oleh: Raja Ahmad Kamil bin Raja Sulaiman

 

Secara umumnya, hadith merupakan penerangan atau penjelasan; dan sistem perundangan tambahan kepada al-Quran.

 

Namun, dewasa ini, terdapat banyak pihak yang bangkit mempersoalkan kedudukan hadith Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi pegangan utama umat Islam selepas al-Qur’an, baik dari golongan mubaligh Kristian, atheist, syiah malah dari segelintir Muslim yang menolak hadith yang sering digelar Quranist.

 

Sebahagian umat Islam yang membaca atau mendengar kata-kata dan hujah mereka kadangkala terpengaruh dan seakan menerimanya, dek kekurangan atau kosong tentang ilmu hadith yang sangat hebat lagi unik ini. Maka, kita sebagai pendakwah mempunyai peranan yang besar dan penting untuk mendidik masyarakat Muslim ke arah memahami agama dengan lebih mendalam, khususnya mengenai hadith dan sunnah nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam.

 

Hanya menunding jari ke arah golongan yang menyerang dan mengkritik Islam tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia menampakkan lagi kelemahan kita dalam merealisasikan misi dakwah yang bersifat rahmat ke seluruh alam.

READ MORE

Berusaha keras dan gigih dalam menuntut ilmu

Sesungguhnya, jiwa manusia secara tabiat suka bersenang-senang dan bermalas-malasan. Ia tidak suka berkorban, bersemangat dan memberi. Ia menyuruh kepada keburukan dan melarang ke arah kebaikan.

 

Perkara ini dinyatakan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla sebagaimana dalam firman-Nya, yang bermaksud:
"...Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku...” (Surah Yusuf, QS12:53)

READ MORE

Hari ini dalam Sejarah | Tragedi Sabra dan Shatila 1982



Bagi rakyat Malaysia, tanggal 16 September adalah tarikh penting menandakan terbentuknya sebuah negara berdaulat bernama Malaysia dan terbebasnya wilayah Sabah dan Sarawak dari penguasaan penjajah. Namun, bagi rakyat Palestin, pada tarikh yang sama tahun 1982, satu peristiwa tragis telah menimpa mereka yang amat jelas menunjukkan PENGKHIANATAN dunia kepada rakyat Palestin.

*****
Mengalirnya darah insan tidak berdosa di Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat manakala Shatila pula adalah pusat perlindungan untuk pelarian Palestin sejak 1949 lagi. Menjelang 1949 sahaja, sudah ada lebih 100 000 pelarian Palestin yang berada di Lebanon termasuk Shatila dan bilangannya terus bertambah sehingga sekarang. Sabra dan Shatila adalah berhampiran dan interaksi yang berlaku antara penduduk Lebanon di Sabra dan pelarian Palestin di Shatila menyebabkan kejiranan itu secara tidak rasmi dikenali sebagai ‘Kem Sabra dan Shatila’.

*****
PLO dan Kumpulan Militia Phalangists

Palestine Liberation Organisation(PLO) ditubuhkan pada tahun 1964 sebagai badan induk yang memayungi beberapa pertubuhan lain dalam usaha membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari Zionis Israel. Pada 1969, Perdana Menteri lebanon telah memberi kebenaran kepada pihak PLO untuk menjadikan Lebanon sebagai pengkalan operasi menentang Israel. Pejuang PLO semakin bertambah menjelang awal 70-an apabila pejuang PLO di Jordan diusir. Perkara ini telah merunsingkan Israel dan juga telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan dengan penduduk dan kumpulan militia tempatan khususnya kumpulan Phalangists. Beberapa siri serangan telah dilakukan oleh PLO ke atas Israel melalui selatan Lebanon yang mengentarkan Israel sehingga memaksa mereka melakukan serangan balas.

*****
6 Jun 1982 - bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila.

Bagi menghentikan serangan dari selatan Lebanon khususnya dari PLO, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan balas sehinggalah pada 6 Jun 1982, bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila apabila Israel menghantar sekitar 60,000 tentera memasuki Lebanon untuk menghapuskan PLO. Walaupun mendapat ‘kecaman’ dari Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Israel dengan dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk kumpulan militia Phalangists berjaya memasuki Lebanon dan menjelang 18 Jun 1982, mereka sudah berjaya mengepung pejuang PLO di Beirut Barat.

*****
Gencatan senjata dan PENGKHIANATAN

Kepungan berterusan oleh Israel yang berlarutan selama hampir 2 bulan telah menimbulkan kerisauan berlakunya bencana kemanusiaan yang besar jika Israel melancarkan serangan terhadap pejuang PLO serta penduduk setempat. Atas ‘usaha dan perantaraan’ wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara Israel dan pejuang PLO.

Antara perjanjian yang dipersetujui adalah pejuang dan pegawai-pegawai PLO perlu meletakkan senjata, meninggalkan bumi Lebanon dan menutup serta menghentikan semua operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran atau lebih tepatnya PROSES PENGUSIRAN ini dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa(Amerika Syarikat, Itali dan Perancis) dan mereka dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari tarikh ketibaan mereka. Mereka juga BERTANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KESELAMATAN penghuni kedua-dua kem tersebut termasuk ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan Shatila. Di pihak Israel pula, mereka BERJANJI tidak akan meneruskan kemaraan mereka ke Beirut.

*****
Janji untuk dikhianati!!!

Pengunduran pejuang PLO yang bermula pada 24 Ogos 1982 itu selesai sepenuhnya menjelang 1 September 1982. Pengkhianatan bermula apabila Israel mula menempatkan tenteranya di sekeliling kedua-dua kem tersebut 2 hari selepas pengunduran pejuang PLO selesai. Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa pula melaksanakan peranan mereka dan mula meninggalkan kawasan tersebut lebih awal dari yang dijanjikan!!!

*****
Dunia menyaksikan pembunuhan ini.

Drama pembunuhan ini semakin jelas apabila pada 11 September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu ‘mengisytiharkan’ terdapat seramai 2 000 ‘pengganas’ Palestin yang bersembunyi di kalangan pelarian di khemah-khemah pelarian sekitar Beirut. Bermula pada 15 September, sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi sekutu kuat Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan mengepung kem Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15 September itu, seluruh penempatan telah dikepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Pos-pos kawalan tentera didirikan bagi memantau pergerakan penduduk di dalam kem.

Tanggal 16 September adalah tarikh yang tidak akan dilupakan. Sepasukan tentera Phalangists sekitar 150 orang mula memasuki kem Sabra dan Shatila dan tragedi bermula.

Dunia menyaksikan untuk tempoh 40 jam kemudian, tentera Phalangists ini merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang awam yang TIDAK BERSENJATA. Kebanyakan mangsa adalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Bagaikan neraka, rakyat awam tiada jalan keluar akibat kepungan kukuh oleh tentera Israel. Keganasan tentera Phalangists ini berterusan sehingga 18 September 1982.

Jumlah angka korban adalah antara 700(angka rasmi Israel) hingga 3500 orang. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang telah dihukum atas keganasan terancang ini bahkan disokong oleh beberapa kerajaan lain.

*****
Dunia terus membisu

Dengan 4000 angka kematian yang sibuk dilaungkan oleh Amerika Syarikat akibat ‘serangan pengganas’ 11 September 2001 terhadap Pusat Dagangan Dunia(WTC), mereka telah melancarkan ‘kempen peperangan menentang keganasan’ yang telah memusnahkan dua buah negara - Afghanistan dan Iraq, yang sehingga kini TIDAK MENEMUI sebarang bukti sahih untuk mengaitkan pengganas dengan tragedi tersebut. Dan kempen ini masih diteruskan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan kem Sabra dan Shatila ini. Jelas, yang terbunuh adalah dari kalangan wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersenjata, dan yang lebih menyayat hati adalah mereka dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat PERLINDUNGAN ANTARABANGSA melalui jaminan yang ditaja sendiri oleh Amerika Syarikat, dan peristiwa ini berakhir seperti tiada apa yang berlaku.

Permainan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam ‘misi keamanan’ yang dilancarkan mereka lebih jelas kalau kita lihat dari siri-siri pembantaian rakyat awam seperti kes di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya dan lain-lain. Peranan mereka sebagai pembantu dalam ‘menghapuskan keganasan’ seperti dihalalkan oleh seluruh pemimpin negara Islam apabila tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka begitu juga dengan Konferens Organisasi Islam(OIC).

*****
Peranan kita

Tragedi berdarah Sabra dan Shatila ini akan terus diingati bagi mereka yang merasakan semua mangsa terbabit itu ialah saudara-mara mereka. Tragedi ini hanya satu bahagian kecil daripada siri-siri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Peranan kita adalah untuk terus membongkar siri-siri kekejaman Israel ini dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya untuk kita membebaskan cengkaman Israel terhadap negara Palestin keseluruhannya.

Sumber: Al-Aqsa Dalam Bahaya, Dr Maszlee Malik [AKA]
READ MORE

Cersapen: “Menjadi Quran yang berjalan”

Selesai peperiksaan Advanced Mathematical Methods yang merupakan subjek terakhir sebelum cuti semester yang panjang bermula, Akmal pulang ke rumahnya dengan perasaan yang bercampur. Dia telah buat keputusan untuk keluar awal walaupun soalan peperiksaan agak mencabar baginya.

 

Sahabat serumahnya di Taman Polo, Adzam juga menduduki peperiksaan pada pagi penghulu segala hari itu. Setibanya di rumah, dia melihat Akmal terbaring di ruang tamu rumah dengan wajah yang muram.

 

Mal, macam mana last paper tadi? Okay tak?”, Adzam bertanya walaupun dia tahu apa jawapan yang Akmal akan berikan.
Erm. Kalau aku pass AMM ni, aku syukur sangat dah”, jawab Akmal sambil bangun dari baring.

 

*Sambung membaca: http://ordinaryguy92.wordpress.com/2014/07/15/cersapen-menjadi-quran-yang-berjalan/

READ MORE

‘Ibrah Ringkas Kisah Pemilik Dua Kebun

image

Teringat kembali musibah yang ditimpa beberapa bulan lepas yang memang tak disangka-sangka, membuatkan diri baru terasa dengan ‘ainul yaqiin dengan ibrah kisah pemilik dua kebun dalam surah al kahf, yang seringkali kita baca setiap hari Jumaat.

Surah yang mana mempunyai mesej dan peringatan yang penting bagi umat akhir zaman sebagai bekal senjata bagi menghadapi fitnah dan dugaan yang tak pernah padam dalam hidup kita dewasa ini.

READ MORE

Unity in diversity, Restore our dignity!

unityOleh: Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman


Bismillah. Coretan ini boleh disebut sebagai surat terbuka kepada umat Islam. Orang bukan Islam juga dialu-alukan untuk membacanya, tiada masalah.

Dewasa ini, kita dapati maruah umat Islam sangat tercalar teruk dek pebagai masalah yang timbul dalam kalangan umat ini, dari sudut kelemahan ekonomi, kepincangan dalam politik negara yang majoritinya umat Islam, tidak kurang juga perbalahan yang tidak berkesudahan, walaupun ia hanyalah atas sebab perkara yang sangat kecil lagi remeh.

Kita kecilkan skop perbahasan. Tanah air kita yang tercinta ini sudah hampir 57 tahun mencapai kemerdekaan lamanya. Kita sedar dan akui banyak pemimpin negara luar di seluruh dunia yang mengagumi akan pencapaian dan keharmonian negara ini. Walau bagaiamana pun, orang lain memandang dengan pelbagai perspektif, tetapi kita yang tinggal di sini kekadang punya pendapat dan perasaan yang berbeza. Setuju? Apakah perkara pokok yang menjadi antara punca utama maruah umat Islam tergadai pada hari ini? Fikir sejenak.

Usai berfikir, kita yakin dengan jelas bahawa masalah utama umat ini ialah perpecahan yang sangat serius, atau bahasa lembut sikit umat Ialam tidak bersatu. Kenapa tidak dapat bersatu? Apa sebabnya?

Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman:
واَعْتصِمُواْ بِحَبْلِ الله جَمِيْعًا وَلاَ تَفَـرَّقوُا وَاذْ كـُرُو نِعْمَتَ الله عَلَيْكُمْ إٍذْكُنْتُمْ أَعْـدَاءً  فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلـُوبِكُمْ  فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَاناً وَكُنْتُمْ عَلىَ شَفاَ خُـفْرَةٍ  مِنَ النَّاِر فَأَنْقـَدَكُمْ مِنْهَا كَذَالِكَ يُبَبِّنُ اللهُ لَكُمْ اَيَاتِهِ لَعَلـَّكُمْ تَهْـتَدُونَ
Maksudnya: “Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah memnyatukan jantung hatimu, lalu menjadilah kamu orang-orang yang bersaudara kerana nikmat Allah; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk” – Surah Ali Imran, QS3:103

Allah Ta’ala telah menjelaskan, kita hanya dapat bersatu dengan sebenar-benarnya melalui ikatan keimanan yang tersemat di jiwa. Jikalau kita mencari persamaan sebagai aset untuk kita bersama tanpa mengendahkan aspek iman, kelak kita pasti temui banyak perbezaan sebagai punca kita berbalah dan berpecah.



Antara doa yang diajar oleh Rasulullah Sollalahu ‘Alaihi Wasallam yang merupakan doa Nabi Daud ‘alaihi salam yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian, yang diriwayatkan oleh Abu Darda’ radiallahu ‘anh:
  أَللَّهُمَّ، إِنِّي أَسْألُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ،  وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ.  أَللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي وَأَهْلِي، وَالْمَاءِ الْبَارِد
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu akan cinta-Mu, cinta orang yang mencintai-Mu dan amalan yang membawaku kepada cinta-Mu. Ya Allah, jadikan cintaku kepada-Mu lebih daripada cintaku kepada diriku sendiri, keluargaku dan air yang dingin” – Hadis hasan gharib, riwayat Imam at-Tirmidzi

Soalan besar yang perlu kita masing-masing jawab: Kenapa kita tak boleh berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat dan pegangan, yang masih diterima dalam kerangka syara’? Kenapa sebahagian kita nak orang lain mesti ikut seperti kita? Tidakkah mereka juga akan punya perasaan yang sama?

Sikap para salafussoleh yang tidak memaksa orang lain mengikut satu-satu pendapat sahaja, malah mereka berlapang dada dan saling menghormati antara satu sama lain, menjadikan mereka golongan yang terbaik.
Semua orang berhak mengetahui semua pendapat yang wujud dalam perbahasan sesuatu perkara, walaupun mereka memang berpegang dengan satu mazhab sahaja. Sebabnya apa? Sekurang-kurangnya, mereka mampu berlapang dada apabila melihat atau mengetahui orang lain yang beramal dengan pendapat lain. Namun, apabila mereka tak tahu, mudahnya untuk melabel orang lain sebagai “sesat” dan sebagainya dek kejahilan mereka.



Satu perkara yang kita perlu jelas dengan sejelas-jelasnya. Allah menjadikan kita manusia dengan begitu unik sekali. Setiap daripada kalangan kita adalah berbeza antara satu sama lain. Dari segi personaliti, sikap, pendekatan dalam sosial, cara berfikir, manhaj dalam agama yang dipegang, pendirian politik dan minat dalam kerjaya. Namun, itu bukanlah lesen, modal atau sebab untuk kita tidak boleh bersatu.

Kita masih mampu bersatu dengan persamaan yang kita ada. Pastinya, kunci utama untuk perpaduan umat Islam ialah keimanan dan ketaqwaan yang sebenar-benarnya kepada Allah ‘Azza Wa Jalla, memenuhi objektif utama hidup kita di dunia ini iaitu mencari keredhaan-Nya dengan memenuhi posisi kita sebagai hamba dan khalifah-Nya di muka bumi ini.

Tidak kisahlah siapa diri kita, kita daripada keturunan mana, apa mazhab yang kita pegang, ideologi politik mana yang kita pegangi, kerjaya apa yang kita ceburi, banyak mana harta yang kita miliki; kita tetap mampu bersatu atas nama Muslim dan Mukmin, dalam berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini melalui perjuangan dakwah dan islah.

Kita tonjolkan kepada masyarakat bahawa Islam bukanlah agama tentang teologi atau ritual semata2, yang bersifat kepuakan atau mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, ia agama yang berciri menyeluruh. Bukanlah seorang muslim itu menyendiri dan tidak bersama masyarakat, malah tidak mengambil peduli tentang masalah mereka, membiarkan jiran kesusahan, walaupun dia bukan Islam. Islam menegakkan keadilan dan kebajikan untuk semua orang. Dengan mengamalkan prinsip ini, orang bukan Islam akan nampak keindahan Islam biarpun mereka memilih untuk tidak memeluk Islam.

IMG-20130316-WA0007

Mengakhiri artikel ini, ingin diri ini kongsikan kata-kata agung ‘Umar ibn Khattab radiallahu ‘anh ketika mahu menerima kunci Baitul Maqdis daripada Panglima Rom sebagai lambang kemerdekaan bumi Palestin daripada penjajahan Rom:
اِنَّا كُنَّا أَذَلَّ قَوْمٍ فأَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نَطْلُبُ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا الله
Maksudnya : “Kita dahulunya merupakan kaum yang sangat hina, tetapi Allah memuliakan kita dengan Islam. Maka jika kita mencari kemuliaan selain daripada kemulian Islam yang telah memuliakan diri kita, maka kita pasti akan dihina oleh Allah” – Al-Hakim; al-Mustadrak, 1/237, Beirut: Dar al-Ma’rifah

Ini pula kata-kata agung Rib’i bin ‘Amir di hadapan Panglima Angkatan Tentera Parsi:
الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله ، ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعتها
Maksudnya: “Allah yang membangkitkan kami agar kami membebaskan sesiapa yang dikehendakiNya daripada pengabdian sesama hamba menuju pengabdian hanya kepada Allah, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, daripada dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat”–  Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/48, Beirut: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah

Maruah dan kegemilangan umat ini tidak akan digapai tanpa perpaduan. Maka, tanggunjawab diri masing-masing untuk menjadi agen kepada perubahan dalam kalangan umat Islam khususnya dan masyarakat setempat amnya. Bermula dengan perubahan dalam diri sendiri, ia akan menular kepada keluarga dan sahabat handai, kemudian dalam masyarakat dan negara.

Bahasa mudahnya;
Tanggungjawab – tanggung di dunia, jawab di akhirat

Semoga Allah sentiasa rahmati kita dan ampuni keterlanjuran kita dalam urusan hidup di dunia yang sementara ini. Moga Allah redha. Wallahua’lam.

*Penulis merupakan mahasiswa tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Kuantan, Pahang. Blog peribadi beliau: http://ordinaryguy92.wordpress.com/
READ MORE

‘Isu’ ISMA: Tanda kita tak setia dengan kebenaran


Oleh: Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman

Bismillah. Pertama sekali sebelum saya lontarkan buah fikiran saya berkenaan isu ini, ingin saya memberi penegasan di sini bahawa coretan ini adalah satu bentuk muhasabah buat diri kita bersama, dan ia adalah pandangan peribadi saya.

Perkara kedua ialah apa yang telah saya sebutkan di Facebook beberapa hari lepas, ingin diulang kembali. Tiada mana-mana orang, badan, pertubuhan, kumpulan atau jamaah yang sempurna. Setiap sesuatu ada baik buruknya. Oleh itu, perkara yang baik daripada sesiapa pun kita sokong, yang buruk kita tegur walau daripada kumpulan kita sendiri. Jikalau ini bukan teras yang kita pegang, memang susah kita nak berinteraksi dengan manusia.

Baiklah. Saya sebenarnya tak ingin memberi komentar yang panjang berkenaan hal ini. Saya hanya nak sebut beberapa perkara yang saya rasa perlu diberi penekanan untuk kita sama-sama berfikir sejenak. Setelah itu, kita saling menghormati dan berlapang dada dengan perbezaan pendirian yang kita pegang. Unity in diversity. Gitu. Namun, kalau ada kesilapan dalam perkara yang saya sebut, tolong perbetulkan.

*bacaan selanjutnya, sila klik link ini: http://ordinaryguy92.wordpress.com/2014/05/24/isu-isma-tanda-kita-tak-setia-dengan-kebenaran/
READ MORE

STRESS



Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang. (13:28)

READ MORE

Penyebaran hadith palsu dan kesannya dalam kehidupan Muslim


Oleh: Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman

1. Antara punca munculnya golongan yang mencipta hadith palsu ialah sikap masyarakat yang meninggalkan al-Quran. Nuh bin Abu Maryam telah mencipta hadith berkaitan fadhilat membaca surah-surah al-Quran.

Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “Aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi, 1:240]

READ MORE

AKHLAK


Saat berbicara tentang kemuliaan, tanyailah diri Anda :
Mana shalat tahajjudmu? Mana puasamu saat siang yang terik menyengat?
Mana sumbangan terhadap anak yatim?
Namun Nabi bersabda,
"Sesungguhnya sesuatu yang paling berat timbangannya
adalah budi pekerti yang agung"
[Semulia akhlak Nabi - Amru Khalid]

[KREDIT]

Bila kita berjumpa dengan sesuatu barang atau pun seseorang, perkara pertama yang akan di buat adalah melihat. Dan melihat itu pastinya dengan mata. Keunikan pada mata ini adalah, setiap apa yang terlintas di tangkap atau ‘capture’ oleh mata akan memberi simulasi kepada urat-urat mata yang akhirnya sampai di titik retina dimana info tentang objek tersebut akan di bawa kepada otak yang seterusnya akan menginterpretasi apa yang di lihat. Perkara ini tidak dapat dielak dan secara automatik akan berlaku tanpa kita sedari.

Perkara yang kita lihat itu, tidak kira lah apa pun, adalah ‘appearance’ atau rupa bentuk. Bila disebut tentang rupa, ia tidak semestinya berbentuk fizikal. Boleh jadi rupa itu adalah tentang bagaimana sesuatu perkara itu dipersembahkan. Dan selalunya apa yang di-interpretasikan oleh otak, adalah gambaran berbentuk subjektif. Contohnya kita melihat sebuah kotak empat segi. Perkara yang akan digambarkan adalah sama ada kotak tersebut cantik atau tidak. Bukan pada seginya sama rata, atau pada permukaannya licin atau kasar. Penilaian-penilaian yang terperinci seperti itu berlaku bila kita benar-benar melihat sedalam-dalamnya. Tetapi perkara yang lebih penting di sini adalah penilaian yang umum, yang di lihat pada aspek kasar penglihatan seseorang. Perkara ini lah yang digambarkan sebagai akhlaq.

Disini lah bermula peri pentingnya kita menjaga akhlaq kerana perkara pertama yang berlaku apabila manusia sekeliling melihat kita, gambaran subjektif yang akan terpancar adalah ‘inilah Islam’. Setelah diteliti, baru lah mereka akan mula membezakan sama ada ianya adalah tabiat peribadi, dipengaruhi unsur adat, kebiasaan perkauman atau benar-benar ajaran Islam. Malangnya, tak semua manusia yang melihat kita, akan meneliti benar-benar tentang dasar setiap sesuatu perbuatan kita.

Penjagaan akhlaq adalah sangat penting dalam Islam. Sebelum Nabi Muhammad s.a.w diangkat menjadi Rasul, Allah sangat menjaga pembentukan peribadi baginda dari kecil hinggalah dewasa. Bahkan tanpa sebarang kelebihan mukjizat sekalipun, baginda sudah terkenal dalam kalangan penduduk Mekkah dengan akhlaqnya yang begitu tinggi dan mulia. Benar, Nabi itu maksum dan terpelihara. Mana mungkin akhlaq kita boleh menjadi sesempurna Nabi demi untuk menjaga nama baik Islam. Sebab itu dikatakan pada awalnya, yang penting adalah pada permulaan penglihatan itu. Kerana disitu mulanya manusia menilai Islam yang ada pada kita. Bila dilihat secara teliti, pastinya kita mempunyai cacat cela dan kelemahan diri yang sukar untuk disembunyikan namun itu bukanlah soalnya.

Allah berfirman dalam surah Al-Qalam (4) : Wa innaka la’ala khuluqin azhim. Akhlaq yang mulia ini begitu penting kerana ia mempersembahkan ketulusan dan kebenaran tentang kefahaman dan kepercayaan kita dalam sesuatu perkara. Ianya bahkan menjadi satu kayu pengukur untuk membezakan adakah benar kalau-kalau Nabi Muhammad ini sebenarnya gila atau tidak. Pentingnya menjaga akhlaq – ia menentukan penerimaan manusia terhadap apa-apa yang kita bawa atau katakan melalui ‘appearance’ yang kita tunjuk di permulaannya.

Satu cara mudah untuk mula menjaga akhlaq, baik dikala berseorangan, atau beramai-ramai. Cuba bayangkan ada seorang bukan islam yang sentiasa bersama kita di mana sahaja kita pergi. Dan setiap gerak geri kita akan ditanya oleh nya; adakah ini yang diajar Islam? Bermula dengan cara kita menyusun selipar, cara makan, sehinggalah cara kita menguruskan ‘laundry’ kita. Perkara kecil, tetapi jika benar Islam itu diambil sebagai cara hidup, pasti sekecil-kecil perkara pun ada ciri keislamannya.

READ MORE

Berlari dan terus berlari


[Kredit]
 
    Hidup sebagai pelajar umpama berjalan di atas suatu lorong. Hujung lorong itulah graduasi. Kita berlari-lari ingin sampai ke penghujung jalan itu-hari graduasi. Tapi sedarkah kita di kiri kanan adanya pokok-pokok yang buahnya ialah amal soleh? Tak kurang juga sepanjang jalan adanya duri-duri maksiat.

     Adakah kita berlari-lari tanpa memetik segala buah amal yang ada sepanjang jalan? Pagi dan malam kita hanya pada belajar, hingga lupa apa lagi yang Allah perintahkan. Begitu tergesa-gesa kita berlari hingga tidak sedar terpijak duri-duri dosa.

     Bukankah hidup kita hanya sebentar? Kita khuatiri jika kita tidak pun sampai ke hari graduasi. Kematian boleh menjemput bila-bila masa sahaja. Kita tidak kutip buah-buah amal. Apa yang mampu kita serahkan kepada Allah? Jika sungguh kita capai ke hujung jalan graduasi, akan ada jalan lain bernama jalan kerjaya. Berapa lama ingin kita berjalan dan berjalan tanpa menghiraukan buah-buah amal soleh yang kita boleh kutip di sepanjang perjalanan hidup kita? Ajak kawan solat berjemaah, memantapkan keimanan dengan amal-amal sunat yang lengkap dan membantu kerja-kerja Islam di sekeliling. Semua ini adalah buah amal.

     Siapakah kita? Seorang pelari hidup yang sibuk pagi dan malam tanpa menghiraukan ajakan-ajakan dakwah? Ayuh kita berubah, kita ingin jadi soleh dan musleh.


Muhammad  Shahid Bin  Shamsul  Anuar
READ MORE

Ukhti, Maafkan aku..


[Kredit]

Ukhti.. Maaf, aku silap!
Aku tersilap dalam membuat pertimbangan. Hajatku hanya untuk meringankan beban, kerana engkau insan yang kusayang. Namun mungkin kerana kelemahan dalam menyampaikan tujuan, jiwamu yang terbeban itu akhirnya terluka meninggalkan kesan.

Ukhti.. Maaf, Aku silap!
Di saat itu mungkin kerana lemahnya iman, maka keputusan yang aku pilih bukan pada mata kaca islam. Tindakan yang aku lakukan bukan keran cinta dan kasih sayang. Tetapi berlandaskan emosi dan hasutan syaitan! Lantas tindakan yang terzahir bukanlah tidakan yang diharapkan.

Ukhti.. Maaf, Aku silap!
Aku berharap dirimu bisa memaafkan aku. Aku berharap dirimu bias senyum kepadaku. Kerana sungguh, aku rindu gelak tawamu, aku rindu gurauan mesramu. Sungguh, aku sangat merinduimu sahabatku.

Wanita. Secara fitrahnya mempunyai hati yang lembut, jiwa yang mudah terluka, perasaan yang mudah kecewa. Maka wahai diri, saat dirimu terluka, mungkin saja kelukaan itu adalah kesilapan dia. Tetapi mungkin juga kelukaan itu adalah kesilapan dirimu. Namun, bukanlah kesilapan siapa yang perlu diperdebatkan tetapi iman itulah yang perlu direnung-renungkan!

Kerana hakikatnya, persahabatan itu adalah kesan kepada iman.

Justeru, andai dirimu terluka, periksalah imanmu, periksalah hubunganmu dengan Sang Pencipta. Mungkin saja kerana imanmu lemah maka Allah mengujimu dengan ujian persahabatan ini, agar dirimu yakin bahawa Allah yang memegang hati-hati manusia. Mungkin inilah peluang untukmu lebih mengenali peribadi sahabatmu. Mungkin inilah peluang untukmu menjadi lebih erat dengan sahabatmu.

Saat ikatan melemah,
Saat keakraban kita merapuh,
Saat salam terasa menyakitkan,
Saat kebersamaan serasa siksaan,
Saat pemberian bagai bara api,
Saat kebaikan justeru melukai,
Aku tahu yang rombeng bukan ukhuwah kita.
Hanya iman-iman kita yang sedang sakit,
atau mengerdil.
Mungkin dua-duanya, mungkin kau saja
Tentu terlebih sering,
imankulah yang compang-camping.
[Kubaca Firman Persaudaraan, Salim A Fillah] 


Duhai Ukhti,
Belajarlah memaafkan agar jiwa menjadi tenang, belajarlah mengalah agar dirimu tidak lelah. Kerana jiwamu memerlukan kasih sayang insan bergelar sahabat..


Ennque,
Pelajar Tahun 2 Kuliyah Perubatan UIAM

READ MORE