BulatanKami
This is an example of a HTML caption with a link.

Filem PK: Kritik agama asas reformasi?

Filem PK atau Peekay adalah bahasa hindi/urdu yang membawa maksud telah minum yakni mabuk. Filem ini telah menimbulkan kontroversi terutama di negara yang menerbitkannya iaitu India, kerana filem ini bergenrekan kritik agama dan sosial yang dianggap mengguris perasaan penganut agama Hindu bagi kelompok yang menentangnya.

Namun, setakat pemerhatian penulis dalam debat atau komen di internet, kebanyakan atau mungkin boleh kata majoriti merasakan filem itu okay, walaupun pastinya ada kritikan atau teguran yang boleh diberikan kepadanya. Mana ada filem atau drama yang sempurna kerana penerbit dan pelakonnya bukanlah sempurna.

Antara gagasan utama dalam cerita ini adalah “wrong number” yang dianalogikan sebagai usaha kita ingin menghubungi(call) tuhan tetapi rupanya yang kita hubungi ialah ‘tuhan yang salah’, yang mana ia bersangkutan dengan eksploitasi agama yang orang berautoriti dalam agama mempergunakan agama dan memperbodohkan masyarakat dengan mendakwa mampu bercakap secara terus dengan Tuhan, dan menggunakan agama untuk pendapatan diri.

Malah, ada yang menanam dogma bahawa agama dan ajarannya suci dan sempurna sehingga ‘alergik’ dengan soalan yang didakwanya ingin mencemarkan kesucian agama. Oleh sebab itu, masyarakat dalam filem berkenaan terkejut tatkala dikatakan tuhan tak boleh ditanya soalan.
Oleh sebab itu, ditekankan akan kepentingan untuk beragama(baca: mengabdikan diri kepada Tuhan) dengan akal yang sihat(baca: berfikiran kritikal untuk tanya soalan). Ada kelompok yang menganggap cerita ni ancaman kepada agama-agama termasuk Islam. Mereka yang berkepentingan mungkin rasa terancam. Hal ini kerana sesungguhnya akal dan naqal(wahyu) itu harmoni dan bukan ‘bermusuhan’.

Dalam Islam misalnya, bukanlah satu kesalahan untuk bertanya soalan, lebih-lebih lagi ia bersangkut paut dalam perkara asas dalam mencari kebenaran. Sejak bila wahyu dan akal itu berkonflik? Yang masalahnya ialah orang yang tak menggunakan akal dalam belajar agama, bak kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Mana mungkin kita nak memahami ajaran agama kalau tak menggunakan akal?

Orang agama yang menjadi jurucakap kepada agama mesti bersikap jujur dalam menjawab soalan orang ramai yang inginkan pencerahan dan sabar terhadap telatah mereka yang bermacam ragam. Bukannya dimaki atau dituduh musuh agama hanya kerana mereka tidak mampu menjawab persoalan yang ditimbulkan. Apabila anak muda dilayan dengan buruk oleh golongan ini, maka tidak hairanlah mereka memberontak dan menolak agamawan dalam memahami agama dan its essence kerana terdapat banyak buku yang boleh dibaca.

Satu lagi perkara yang ingin disebutkan di sini ialah berkenaan bidang perbandingan agama yang seringkali dipandang oleh sebahagian Muslim dengan persepsi yang negatif. Kata-kata seperti “Agama sendiri pun tak habis belajar lagi, sibuk nak belajar agama lain”, atau “Buat apa belajar agama lain, fokus la belajar agama sendiri dulu” dan sengangkatan dengannya biasa ditimbulkan oleh mereka yang tidak senang dengan trendmempelajari agama lain.

Maka, kursus atau program seperti Friendly Comparative Religion (FCR), Interactive Dakwah Training (IDT) dan sebaris dengannya dilemparkan tuduhan oleh segelintir orang sebagai agenda liberal dan sebagainya. Kenapa sampai begitu jadinya? Dahsyatnya impak kongkongan dan pemenjaraan minda oleh orang agama dan politik sampai begitu sekali.

Secara peribadi, saya berpendapat agar adanya subjek mempelajari secara umum tentang agama lain dalam pendidikan kita. Maknanya kita belajar agama lain, penganut agama lain juga sama. Sebabnya apa? Pada pandangan saya, belajar agama lain pada perspektif Muslim bukan sahaja untuk digunakan dalam kita berbahas untuk dakwah kepada orang bukan Islam, tetapi ia juga secara tak langsung memantapkan aqidah dan keyakinan kita dalam beragama untuk lebih setia dengan kebenaran, berbanding menerima bulat-bulat(taqlid) apa yang diajar sejak kecil tanpa berani berfikiran kritikal untuk mempertahankan pegangan itu lebih-lebih lagi apabila diserang oleh orang bukan Islam, atau mungkin Muslim sendiri.

Dalam konteks filem ini, kita boleh nampak bagaimana dalam perjalanan PK mencari tuhan yang sebenar untuk dia meminta pertolongan mencari alat kawalannya, setelah orang ramai yang ditemuinya berkata tak mampu tolong dia dan hanya Tuhan yang mampu.

Konsep dua sayap harapan(hope) dan amaran(fear) pun ada disampaikan/ditunjukkan dalam gambaran keseluruhan sosio-budaya masyarakat India, yang secara tak langsung membantu dalam memahami hakikat kehidupan ni.

Kita yang beragama Islam, memang yakin dengan kebenaran Islam. Namun, itu sama sekali tidak bererti kita tidak memerlukan lagi petunjuk, benar? Saban hari kita memohon kepada Allah dalam solat agar beri hidayah dan petunjuk kepada jalan yang benar. Berada di jalan yang benar tidak menjamin kita kekal di atasnya, mungkin terbabas tatkala ada perkara yang bermain dalam fikiran gagal dijawab. Dan, hidayah itu sendiri ada peringkat dan kedudukannya sendiri. Hari demi hari berlalu, kita mendambakan diri menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik, agar kita mati dengan husnul khatimah(good ending) dan ia kedudukan terbaik kita di sisi Allah.

Benda paling tersentuh yang PK sebut pasal dua jenis Tuhan:
1. Tuhan ciptaan manusia
2. Tuhan yang mencipta manusia

Bukan tuhan yang manusia cipta tu yang dia nak sembah, tapi tuhan yang cipta manusia. Brother Shah Kirit ada sebut dalam group whatsapp benda ni kita boleh reflect dengan kalimah “Tiada tuhan melainkan Allah” iaitu tiada tuhan (ciptaan manusia) kecuali Allah (yang cipta manusia).

Ada yang mengkritik filem ni seolah-olah mengajar kita agar tak beradab dengan orang yang berautoriti dengan orang agama. Semestinya adab perlu dijaga. Cumanya, point ni ada kaitan dengan artikel yang bakal aku publish nanti berkaitan manusia yang sihat akalnya akan memberontak.
pk
Gambar di atas ini ialah sedutan babak yang paling menarik yang menggabungkan tema politik, agama dan budaya. Antara dialog yang menarik ketika babak ini ialah, sami berkenaan berkata”Kami boleh lindungi tuhan“, lalu dibalas oleh PK dengan berkata “Korang nak lindungi tuhan? Dunia ni sangat luas, entah berapa banyak lagi tempat luar bumi ni yang korang tak tahu, korang nak lindungi tuhan?”

Satu lagi antara babak yang menarik apabila di gereja, orang di sana berkata, “Tuhan(Jesus) telah datang untuk menebus dosa kau”, lalu dibalas oleh PK, “Apa dosa aku? Aku baru saja sampai ke sini(bumi)

Debat berkaitan filem PK dalam media di India beberapa hari lepas yang cukup hangat, dengan 6 panelis dan ditambah pula dengan pengacara yang agresif. Bagi mereka yang berminat dengan debat, boleh observe macam mana pengacaranya manipulasi debat ni.

Untitled
Ada beberapa isu atau persoalan utama yang dapat disebut di sini:
1. Protes aman vs vandalisme – Siapa sebenarnya yang melampaui batas?
2. Demokrasi – Sejauh manakah kita memahami dan mengamalkannya?
3. Perundangan negara vs kalam orang agama – Manakah lebih berautoriti?
4. Sekatan vs kebebasan – Bagaimana kita nak kendalikannya terutama kehidupan masyarakat yang majmuk? Ada yang boleh, ada tak boleh?
5. Sensitiviti agama & kaum – Apakah batasan dalam kritik sosial & agama?

Bagi yang ingin mengikuti debat ini, boleh klik berikut:https://www.youtube.com/watch?v=m6wQIZ-syXY

Apa yang boleh kita belajar daripada budaya di India ialah keterbukaan media mereka(walaupun ada kepentingan atau sebab tertentu) untuk mewacanakan sesuatu isu atau perkara demi mendidik masyarakat, menghargai akal dan pemikiran mereka dan memberi ruang kepada semua pihak untuk bersuara.
Maka, akhir kalam, filem ini sangat dianjurkan untuk ditonton oleh umat Islam, dengan pelbagai sebab. Paling mudahnya, sebagai muhasabah dalam kita beragama. Sejauh mana kita yakin dengan kebenaran Islam dan setia dengannya.

Proses ke arah melakukan perubahan dalam menjadikan dunia yang lebih baik adalah antara lain bermula dengan melakukan reformasi dalam cara keberagamaan, yang akan menghasilkan seorang insan yang bersifat holistik dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta tidak mementingkan diri sendiri.

Moga Allah sentiasa beri kita petunjuk untuk kekal setia dengan kebenaran hingga ke akhir hayat.

Diakhiri coretan ini dengan firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
وَكَذَٲلِكَ نُرِىٓ إِبۡرَٲهِيمَ مَلَكُوتَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلِيَكُونَ مِنَ ٱلۡمُوقِنِينَ (٧٥) فَلَمَّا جَنَّ عَلَيۡهِ ٱلَّيۡلُ رَءَا كَوۡكَبً۬ا‌ۖ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَآ أُحِبُّ ٱلۡأَفِلِينَ (٧٦) فَلَمَّا رَءَا ٱلۡقَمَرَ بَازِغً۬ا قَالَ هَـٰذَا رَبِّى‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَ قَالَ لَٮِٕن لَّمۡ يَہۡدِنِى رَبِّى لَأَڪُونَنَّ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلضَّآلِّينَ (٧٧) فَلَمَّا رَءَا ٱلشَّمۡسَ بَازِغَةً۬ قَالَ هَـٰذَا رَبِّى هَـٰذَآ أَڪۡبَرُ‌ۖ فَلَمَّآ أَفَلَتۡ قَالَ يَـٰقَوۡمِ إِنِّى بَرِىٓءٌ۬ مِّمَّا تُشۡرِكُونَ ٧٨) إِنِّى وَجَّهۡتُ وَجۡهِىَ لِلَّذِى فَطَرَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ حَنِيفً۬ا‌ۖ وَمَآ أَنَا۟ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ
Maksudnya: “Demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan yang ada di langit dan di bumi, agar dia termasuk orang-orang yang yakin. Ketika malam telah gelap, dia melihat bintang, lalu berkata, ‘Inilah tuhanku’. Tetapi tatkala bintang itu tenggelam, dia berkata, ‘Aku tidak suka pada yang tenggelam’. Kemudian ketika dia melihat bulan terbit, dia berkata, ‘Inilah tuhanku’. Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata, ‘Sesungguhnya jika tuhanku tidak memberi petunjuk padaku, pasti aku termasuk orang-orang yang sesat. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata, ‘Inilah tuhanku, ini lebih besar’. Tatkala matahari itu terbenam, dia pun berkata, ‘Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kalian persekutukan! Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang menyekutukan-Nya.” – Surah al-An’am, ayat 75-79

*Penulis ialah Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman, Ikhwah UIA Kuantan yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Siswa Nasional dan Pengarah strategi Hidayah Centre Pahang.
READ MORE

Selamat maju jaya untuk peperiksaan akhir semester!

1510662_899391253412986_1915237441350881047_n

 

IKRAM Siswa UIAM Kuantan mengucapkan selamat maju jaya kepada mahasiswa UIAM Kuantan menjelang peperiksaan akhir semester yang bakal bermula hari jumaat ini.

Manfaatkan tempoh yang berbaki ini untuk mengulangkaji pelajaran yang telah ditimba.

Moga kita dapat menjawab dengan tenang dan hikmah, serta memperoleh keputusan yang baik untuk masa depan ummah yang lebih cerah.

Amin ya rabbal ‘alamiin.

READ MORE

Ilmu banyak, perangai buruk?

Dewasa ini, kita dapat melihat fenomena hilangnya kemuliaan akhlak sebahagian manusia, yang turut melibatkan umat Islam. Perkara ini sememangnya membuatkan kita bimbang dengan realiti pada hari ini. Sedangkan, akhlak adalah medium dakwah yang paling utama, lebih-lebih lagi bagi umat Islam.
Namun, ada satu perkara yang juga tidak kurang seriusnya, iaitu mereka yang mempunyai ilmu yang boleh dikatakan banyak, namun entah di mana silapnya, ada sebahagian daripada mereka mempunyai akhlak yang buruk.
READ MORE

Mempertahankan hadith sebagai autoriti

Oleh: Raja Ahmad Kamil bin Raja Sulaiman

 

Secara umumnya, hadith merupakan penerangan atau penjelasan; dan sistem perundangan tambahan kepada al-Quran.

 

Namun, dewasa ini, terdapat banyak pihak yang bangkit mempersoalkan kedudukan hadith Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi pegangan utama umat Islam selepas al-Qur’an, baik dari golongan mubaligh Kristian, atheist, syiah malah dari segelintir Muslim yang menolak hadith yang sering digelar Quranist.

 

Sebahagian umat Islam yang membaca atau mendengar kata-kata dan hujah mereka kadangkala terpengaruh dan seakan menerimanya, dek kekurangan atau kosong tentang ilmu hadith yang sangat hebat lagi unik ini. Maka, kita sebagai pendakwah mempunyai peranan yang besar dan penting untuk mendidik masyarakat Muslim ke arah memahami agama dengan lebih mendalam, khususnya mengenai hadith dan sunnah nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam.

 

Hanya menunding jari ke arah golongan yang menyerang dan mengkritik Islam tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia menampakkan lagi kelemahan kita dalam merealisasikan misi dakwah yang bersifat rahmat ke seluruh alam.

READ MORE

Berusaha keras dan gigih dalam menuntut ilmu

Sesungguhnya, jiwa manusia secara tabiat suka bersenang-senang dan bermalas-malasan. Ia tidak suka berkorban, bersemangat dan memberi. Ia menyuruh kepada keburukan dan melarang ke arah kebaikan.

 

Perkara ini dinyatakan oleh Allah ‘Azza Wa Jalla sebagaimana dalam firman-Nya, yang bermaksud:
"...Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku...” (Surah Yusuf, QS12:53)

READ MORE

Hari ini dalam Sejarah | Tragedi Sabra dan Shatila 1982



Bagi rakyat Malaysia, tanggal 16 September adalah tarikh penting menandakan terbentuknya sebuah negara berdaulat bernama Malaysia dan terbebasnya wilayah Sabah dan Sarawak dari penguasaan penjajah. Namun, bagi rakyat Palestin, pada tarikh yang sama tahun 1982, satu peristiwa tragis telah menimpa mereka yang amat jelas menunjukkan PENGKHIANATAN dunia kepada rakyat Palestin.

*****
Mengalirnya darah insan tidak berdosa di Sabra dan Shatila

Sabra adalah nama sebuah penempatan rakyat Lebanon di bahagian selatan Beirut Barat manakala Shatila pula adalah pusat perlindungan untuk pelarian Palestin sejak 1949 lagi. Menjelang 1949 sahaja, sudah ada lebih 100 000 pelarian Palestin yang berada di Lebanon termasuk Shatila dan bilangannya terus bertambah sehingga sekarang. Sabra dan Shatila adalah berhampiran dan interaksi yang berlaku antara penduduk Lebanon di Sabra dan pelarian Palestin di Shatila menyebabkan kejiranan itu secara tidak rasmi dikenali sebagai ‘Kem Sabra dan Shatila’.

*****
PLO dan Kumpulan Militia Phalangists

Palestine Liberation Organisation(PLO) ditubuhkan pada tahun 1964 sebagai badan induk yang memayungi beberapa pertubuhan lain dalam usaha membebaskan keseluruhan bumi Palestin dari Zionis Israel. Pada 1969, Perdana Menteri lebanon telah memberi kebenaran kepada pihak PLO untuk menjadikan Lebanon sebagai pengkalan operasi menentang Israel. Pejuang PLO semakin bertambah menjelang awal 70-an apabila pejuang PLO di Jordan diusir. Perkara ini telah merunsingkan Israel dan juga telah menyebabkan berlakunya pertelingkahan dengan penduduk dan kumpulan militia tempatan khususnya kumpulan Phalangists. Beberapa siri serangan telah dilakukan oleh PLO ke atas Israel melalui selatan Lebanon yang mengentarkan Israel sehingga memaksa mereka melakukan serangan balas.

*****
6 Jun 1982 - bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila.

Bagi menghentikan serangan dari selatan Lebanon khususnya dari PLO, Israel telah melancarkan beberapa siri serangan balas sehinggalah pada 6 Jun 1982, bermulanya titik hitam Sabra dan Shatila apabila Israel menghantar sekitar 60,000 tentera memasuki Lebanon untuk menghapuskan PLO. Walaupun mendapat ‘kecaman’ dari Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB), Israel dengan dibantu oleh beberapa kumpulan Kristian tempatan termasuk kumpulan militia Phalangists berjaya memasuki Lebanon dan menjelang 18 Jun 1982, mereka sudah berjaya mengepung pejuang PLO di Beirut Barat.

*****
Gencatan senjata dan PENGKHIANATAN

Kepungan berterusan oleh Israel yang berlarutan selama hampir 2 bulan telah menimbulkan kerisauan berlakunya bencana kemanusiaan yang besar jika Israel melancarkan serangan terhadap pejuang PLO serta penduduk setempat. Atas ‘usaha dan perantaraan’ wakil kerajaan Amerika Syarikat, Philip Habib, satu gencatan senjata telah dipersetujui diantara Israel dan pejuang PLO.

Antara perjanjian yang dipersetujui adalah pejuang dan pegawai-pegawai PLO perlu meletakkan senjata, meninggalkan bumi Lebanon dan menutup serta menghentikan semua operasi pejabat dan prasarana PLO. Proses pengunduran atau lebih tepatnya PROSES PENGUSIRAN ini dilaksanakan di bawah pengawasan pasukan tentera antarabangsa(Amerika Syarikat, Itali dan Perancis) dan mereka dijadualkan untuk berada di lapangan selama 30 hari dari tarikh ketibaan mereka. Mereka juga BERTANGGUNGJAWAB MEMELIHARA KESELAMATAN penghuni kedua-dua kem tersebut termasuk ahli keluarga pejuang yang ditinggalkan di Sabra dan Shatila. Di pihak Israel pula, mereka BERJANJI tidak akan meneruskan kemaraan mereka ke Beirut.

*****
Janji untuk dikhianati!!!

Pengunduran pejuang PLO yang bermula pada 24 Ogos 1982 itu selesai sepenuhnya menjelang 1 September 1982. Pengkhianatan bermula apabila Israel mula menempatkan tenteranya di sekeliling kedua-dua kem tersebut 2 hari selepas pengunduran pejuang PLO selesai. Tidak lama selepas itu, pasukan tentera antarabangsa pula melaksanakan peranan mereka dan mula meninggalkan kawasan tersebut lebih awal dari yang dijanjikan!!!

*****
Dunia menyaksikan pembunuhan ini.

Drama pembunuhan ini semakin jelas apabila pada 11 September 1982, Ariel Sharon, Menteri Pertahanan Israel pada waktu itu ‘mengisytiharkan’ terdapat seramai 2 000 ‘pengganas’ Palestin yang bersembunyi di kalangan pelarian di khemah-khemah pelarian sekitar Beirut. Bermula pada 15 September, sehari selepas pembunuhan bakal Presiden Lebanon yang menjadi sekutu kuat Israel-Phalangists, Bashir Gemayil, tentera Israel mara dan memasuki Beirut Barat dan mengepung kem Sabra dan Shatila. Menjelang tengahari 15 September itu, seluruh penempatan telah dikepung oleh tentera dan kereta-kereta kebal Israel. Pos-pos kawalan tentera didirikan bagi memantau pergerakan penduduk di dalam kem.

Tanggal 16 September adalah tarikh yang tidak akan dilupakan. Sepasukan tentera Phalangists sekitar 150 orang mula memasuki kem Sabra dan Shatila dan tragedi bermula.

Dunia menyaksikan untuk tempoh 40 jam kemudian, tentera Phalangists ini merogol, membunuh dan mencederakan ramai orang awam yang TIDAK BERSENJATA. Kebanyakan mangsa adalah wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua. Bagaikan neraka, rakyat awam tiada jalan keluar akibat kepungan kukuh oleh tentera Israel. Keganasan tentera Phalangists ini berterusan sehingga 18 September 1982.

Jumlah angka korban adalah antara 700(angka rasmi Israel) hingga 3500 orang. Sehingga kini, tiada sesiapa pun yang telah dihukum atas keganasan terancang ini bahkan disokong oleh beberapa kerajaan lain.

*****
Dunia terus membisu

Dengan 4000 angka kematian yang sibuk dilaungkan oleh Amerika Syarikat akibat ‘serangan pengganas’ 11 September 2001 terhadap Pusat Dagangan Dunia(WTC), mereka telah melancarkan ‘kempen peperangan menentang keganasan’ yang telah memusnahkan dua buah negara - Afghanistan dan Iraq, yang sehingga kini TIDAK MENEMUI sebarang bukti sahih untuk mengaitkan pengganas dengan tragedi tersebut. Dan kempen ini masih diteruskan.

Bandingkan pula sikap Amerika Syarikat dan dunia terhadap pembunuhan kem Sabra dan Shatila ini. Jelas, yang terbunuh adalah dari kalangan wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak bersenjata, dan yang lebih menyayat hati adalah mereka dibunuh semasa mereka sepatutnya mendapat PERLINDUNGAN ANTARABANGSA melalui jaminan yang ditaja sendiri oleh Amerika Syarikat, dan peristiwa ini berakhir seperti tiada apa yang berlaku.

Permainan Amerika Syarikat dan sekutunya dalam ‘misi keamanan’ yang dilancarkan mereka lebih jelas kalau kita lihat dari siri-siri pembantaian rakyat awam seperti kes di Syria, Mesir, Palestin, Rohingya dan lain-lain. Peranan mereka sebagai pembantu dalam ‘menghapuskan keganasan’ seperti dihalalkan oleh seluruh pemimpin negara Islam apabila tiada sebarang tindakan yang dilakukan oleh mereka begitu juga dengan Konferens Organisasi Islam(OIC).

*****
Peranan kita

Tragedi berdarah Sabra dan Shatila ini akan terus diingati bagi mereka yang merasakan semua mangsa terbabit itu ialah saudara-mara mereka. Tragedi ini hanya satu bahagian kecil daripada siri-siri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Peranan kita adalah untuk terus membongkar siri-siri kekejaman Israel ini dan menyedarkan masyarakat tentang pentingnya untuk kita membebaskan cengkaman Israel terhadap negara Palestin keseluruhannya.

Sumber: Al-Aqsa Dalam Bahaya, Dr Maszlee Malik [AKA]
READ MORE

Cersapen: “Menjadi Quran yang berjalan”

Selesai peperiksaan Advanced Mathematical Methods yang merupakan subjek terakhir sebelum cuti semester yang panjang bermula, Akmal pulang ke rumahnya dengan perasaan yang bercampur. Dia telah buat keputusan untuk keluar awal walaupun soalan peperiksaan agak mencabar baginya.

 

Sahabat serumahnya di Taman Polo, Adzam juga menduduki peperiksaan pada pagi penghulu segala hari itu. Setibanya di rumah, dia melihat Akmal terbaring di ruang tamu rumah dengan wajah yang muram.

 

Mal, macam mana last paper tadi? Okay tak?”, Adzam bertanya walaupun dia tahu apa jawapan yang Akmal akan berikan.
Erm. Kalau aku pass AMM ni, aku syukur sangat dah”, jawab Akmal sambil bangun dari baring.

 

*Sambung membaca: http://ordinaryguy92.wordpress.com/2014/07/15/cersapen-menjadi-quran-yang-berjalan/

READ MORE