Musafir dan Yakin
IKRAM Siswa UIAM Kuantan | Sabtu, Oktober 13, 2012 |
Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.
Apabila kita keluar bermusafir, wajiblah
keatas diri kita untuk mempercayai dan meyakini jalan yang akan kita
lalui. Kita juga akan meredhai jalan yang kita pilih untuk sampai kepada
destinasi yang kita ingin tuju.
Jika kita bermusafir menggunakan laluan
yang kita tidak yakin padanya, mudah sekali untuk kita sesat dan hilang
arah tujuan ketika dalam perjalanan. Kita akan cepat ragu-ragu dan
saling tidak mempercayai diantara ahli musafir.
Maka perjalanan musafir kita akan
terganggu kemungkinan besar juga kita akan berpindah ke jalan lain dan
bercerai-berailah kita dengan ahli musafir yang lain.
Cerita sama di jalan dakwah. Kisah kita musafir di dunia.
Jalan dakwah bukan jalan bid‘ah, bukan jalan yang baru tetapi jalan sama yang pernah dilalui para anbiya dan salafus soleh.
Jalan dakwahlah yang sepatutnya terlebih
utama dipercayai dan diyakini kerana inilah jalan asal dimana seorang
Muslim mengikat segala urusan hidupnya dan kepada Nya lah dia
menyerahkan segala apa yang dimiliki sama ada harta, jiwa atau usia,
fikiran dan waktu kerana disinilah letaknya kesudahan dan masa depan
yang hakiki.
Maka wajib keatas diri setiap Muslim
yang memilih laluan ini untuk tahu tentang keselamatan jalan dakwah,
mengetahui keasliannya dan meyakininya supaya usia tidak dibazirkan di
jalan yang menyeleweng dan bengkok.
“Katakanlah: Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.” [12:108]
Jangan ragu-ragu dengan jalan dakwah.
Sekiranya kita enggan, sesungguhnya kita akan terumbang-ambing diantara
bimbang dan ragu-ragu. Dikala kita membiarkan jalan ini, sesungguhnya
pasukan Allah akan terus berjalan tanpa mempedulikan sama ada bilangan
mereka ramai atau sedikit.
“.. dan pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah yang maha kuasa, lagi maha bijaksana.” [3:126]
Wallahua’lam
Sumber: Jahagifu
0 Comments
Tweets