BulatanKami

Ilmu banyak, perangai buruk?

Dewasa ini, kita dapat melihat fenomena hilangnya kemuliaan akhlak sebahagian manusia, yang turut melibatkan umat Islam. Perkara ini sememangnya membuatkan kita bimbang dengan realiti pada hari ini. Sedangkan, akhlak adalah medium dakwah yang paling utama, lebih-lebih lagi bagi umat Islam.
Namun, ada satu perkara yang juga tidak kurang seriusnya, iaitu mereka yang mempunyai ilmu yang boleh dikatakan banyak, namun entah di mana silapnya, ada sebahagian daripada mereka mempunyai akhlak yang buruk.

Daripada Abu hurairah radiallahu ‘anhu, Rasulullah Sollalllahu ‘alaihi wasallam bersabda, maksudnya:
Hanyasanya aku diutuskan (antaranya) untuk menyempurnakan akhlak yang mulia” - Hadith Sahih, Riwayat Ahmad
Terdapat sebuah kisah tentang seorang ulama salafussoleh yang dinukilkan daripada Kitab Adab al-Ikhtilafat al-Fiqhiyyah(Etika berbeza pendapat dalam isu feqah), karangan Dr. Tolaat Muhammad ‘Afifi yang boleh menjadi teladan buat kita:
“Ali bin Musa al-Haddad menukilkan satu kisah berkenaan Imam Ahmad bin Hanbal katanya: Suatu hari aku bersama Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muhammad bin Qudamah ketika menghadiri upacara pengkebumian. Setelah ditanam jenazah, kami mendapati seoarang lelaki buta duduk membacakan (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur. Maka berkata Imam Ahmad kepada lelaki buta tersebut: Sesungguhnya membaca (al-Quran al-Karim dan zikir) di sisi kubur adalah bid’ah. Setelah kami keluar dari tanah perkuburan, berkata Imam Muhammad bin Qudamah kepada Imam Ahmad: Wahai Abu Abdullah (gelaran bagi Imam Ahmad), apa pandangan engkau tentang Mubassyir al-Halabi? Imam Ahmad menjawab: Dia seorang yang dipercayai riwayatnya. Ditanya lagi (Imam Muhammad bin Qudamah): Adakah engkau pernah menulis sesuatu tentangnya?”
“Imam Ahmad membalas: Ya. Lantas Imam Muhammad berkata: Sesungguhnya aku dikhabarkan daripada Abdul Rahman bin al-Ala bin al-Hajjaj dari bapanya, Mubassyir berpesan apabila dia meninggal dunia bacalah di sisi kepalanya dengan permulaan surah al-Baqarah dan penutup surah tersebut. (Kata Imam Muhammad lagi) Ini kerana Mubassyir berkata: Aku mendengar Ibnu Umar berpesan sedemikian. Justeru berkata Imam Ahmad: Maka pergilah dan katakan kepada lelaki buta tadi tiada masalah untuk membaca (al-Quran al-Karim dan zikir-zikir di sisi kubur)”
Dalam kisah di atas, jelas betapa ilmu yang ada di dada dengan jiwa yang halus ditunjangi tauhid, menjadikan seseorang itu mempunyai akhlak yang terpuji dan berkeperibadian hebat. Imam Ahmad bersedia untuk mengubah pendapatnya kerana ada sandaran atau hujah di sebalik perbuatan yang dikritiknya itu. Tidak angkuh dan sombong dengan degil atas pendirian yang diambilnya.
Gambar hiasan
Walaupun dikritik musuh yang tidak sealiran dengannya, amat sukar perkataan keji yang keluar daripada mulutnya. Para ulama yang rabbani menghadapi khilaf dalam berijtihad tentang sesuatu hukum dengan penuh adab dan menghormati antara satu sama lain. Malah, mereka tetap memuji ulama yang mereka kritik itu. Mana mungkin tiada seorang yang tidak ada kebaikan untuk kita sebutkan untuk menjadi teladan orang lain, lebih-lebih lagi seorang yang mempunyai keilmuan yang tinggi.
Namun malangnya, ada yang sanggup menggadai prinsip dan tidak setia dengan kebenaran. Mereka menjual fatwa untuk kepentingan kumpulan, kedudukan, pangkat dan harta. Umat menjadi keliru, bahkan mungkin ada yang terpesong dalam beragama. Justeru, tidaklah menghairankan apabila al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing, melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.
Firman Allah Azza Wa Jalla, maksudnya:
Bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.  – Surah al-A’raf, QS7:175-176
Ilmu yang dituntut dengan tujuan yang benar akan membawa manusia dalam memanifestasikan rasa kehambaan diri kepada Tuhan. Bukannya menjadikan diri seorang yang takabbur dan riyak.
Allah Ta'ala berfirman, maksudnya:
"..Hanyasanya (orang) yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya ialah ulama(orang yang banyak ilmu)" - Surah Fatir, QS35:28
Gambar hiasan
Sebahagian guru atau pensyarah, juga ibu bapa mengabaikan dalam memberi penekanan terhadap bab adab dan akhlak dalam pendidikan anak muda dan generasi pelapis. yang sangat berkait rapat dengan aqidah dan ibadah. Pendidikan yang mengajar tentang aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih sepatutnya melahirkan seorang muslim yang baik peribadinya untuk merealisasikan tujuan kehidupannya sebagai hamba dan khalifah.
Namun, apabila pendidikan itu "dirogol" dan diabaikan, akhirnya ruh agama sebagai pegangan hidup tidak dirasai umat, membuatkan jantung hati insan kekadang terasa kosong dan kontang, membuatkan seseorang itu hilang prtimbangan dalam tindak tanduknya.
Mengakhiri coretan ringkas ini, ingin dikongsikan satu ungkapan yang boleh sama-sama kita renungkan:
"Ilmu sikit akhlak baik, it is good.
Ilmu banyak akhlak buruk, it is nothing.
Ilmu banyak akhlak baik, it is the best!
Ilmu sikit akhlak buruk, it is indeed the worst!"
*Penulis ialah Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Siswa Nasional dan Pengarah Strategi Hidayah Centre Pahang. Beliau merupakan ikhwah UIA Kuantan, tahun tiga jurusan Matematik.
*Artikel ini turut disiarkan di portal berita The Malaysian Insider 
0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan