BulatanKami

Mempertahankan hadith sebagai autoriti

Oleh: Raja Ahmad Kamil bin Raja Sulaiman

 

Secara umumnya, hadith merupakan penerangan atau penjelasan; dan sistem perundangan tambahan kepada al-Quran.

 

Namun, dewasa ini, terdapat banyak pihak yang bangkit mempersoalkan kedudukan hadith Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam yang menjadi pegangan utama umat Islam selepas al-Qur’an, baik dari golongan mubaligh Kristian, atheist, syiah malah dari segelintir Muslim yang menolak hadith yang sering digelar Quranist.

 

Sebahagian umat Islam yang membaca atau mendengar kata-kata dan hujah mereka kadangkala terpengaruh dan seakan menerimanya, dek kekurangan atau kosong tentang ilmu hadith yang sangat hebat lagi unik ini. Maka, kita sebagai pendakwah mempunyai peranan yang besar dan penting untuk mendidik masyarakat Muslim ke arah memahami agama dengan lebih mendalam, khususnya mengenai hadith dan sunnah nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam.

 

Hanya menunding jari ke arah golongan yang menyerang dan mengkritik Islam tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia menampakkan lagi kelemahan kita dalam merealisasikan misi dakwah yang bersifat rahmat ke seluruh alam.

Hadirnya seorang insan yang diberikan wahyu oleh Allah Subahanahu wa Ta’ala sebagai utusan-Nya di muka bumi ini, bukanlah sekadar menyampaikan Kalamullah, tetapi juga sebagai pembimbing dan pendidik manusia ke jalan yang benar. Kata-katanya yang bukan dari Allah juga menjadi sumber rujukan dan panduan untuk kehidupan seharian kita.

Allah Ta’ala berfirman dalam surah al-Maidah;

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَٱحۡذَرُواْ‌ۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ

Maksudnya: “Taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata” – QS5:92

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ‌ۚ فَإِن تَوَلَّيۡتُمۡ فَإِنَّمَا عَلَىٰ رَسُولِنَا ٱلۡبَلَـٰغُ ٱلۡمُبِينُ

Maksudnya: “Taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling (enggan taat, kamulah yang akan menderita balasannya yang buruk), kerana sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata” – QS64:12

 

Dalam dua ayat ini memang disebut oleh Allah bahawa kewajipan Rasul sebagai penyampai, namun konteks ayat ini adalah ketika mana manusia enggan menerima dan menolak kebenaran, maka akhirnya tugas Rasul itu bukanlah pemberi hidayah, tetapi menyampaikan kebenaran yang jelas lagi nyata.

Hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah ‘Azza Wa Jalla dalam surah an-Nahl:

بِٱلۡبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ‌ۗ وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّڪۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيۡہِمۡ وَلَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “(Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya” – QS16:44

 

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡ‌ۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِى مَن يَشَآءُ‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ

Maksudnya: “Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), juga memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” – QS14:4

 

Dalam dua ayat ini menjelaskan tugas para Rasul bukanlah hanya menyampaikan ayat-ayat Allah yang diwahyukan, tetapi memberikan penerangan dengan lebih terperinci dan jelas untuk kefahaman umat manusia, bukan hanya untuk Muslim, tetapi juga bukan Muslim, sebagaimana yang disebut dalam surah al-Baqarah:

شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ

Maksudnya: “Bulan Ramadan itu(yang disyariatkan berpuasa) diturunkan dalamnya al-Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan keterangan daripada petunjuk dan pembeza antara kebenaran dan kebatilan…” – QS2:185

 

Al-Quran itu sememangnya petunjuk untuk manusia, buat orang Islam sebagai pedoman hidup, juga untuk orang bukan Islam untuk membuka mata hati mereka akan kebenaran dan hakikat kehidupan ini. Maka, dari ayat inilah dapat kita fahami peranan umat Islam untuk berdakwah kepada orang bukan Islam dengan menyampaikan ayat-ayat Allah.

 

Berbalik kepada peranan Rasul sebagai pemberi penjelasan. Kita boleh memberikan analogi seorang guru dan buku teks. Tiada seorang guru yang mengajar anak didiknya, hanya bercakap berdasarkan buku teks yang menjadi sumber rujukan. Sebaliknya, dia turut menambah isi dan maklumat daripada dirinya sendiri untuk memberi penjelasan dan kefahaman yang lebih jelas kepada mereka.

 

Begitulah juga Rasul. Al-Quran menyuruh untuk kita mengerjakan solat dan disebut dalam beberapa ayat tentang rukun solat seperti sujud dan ruku’, Rasul sebagai mahaguru umat yang menerangkan secara terperinci tentang tatatertib dan kaedah solat.

 

Seorang guru juga apabila menemui pelajarnya yang gagal dalam peperiksaan akan menegaskan bahawa tugasnya hanyalah menyampaikan ilmu yang berasaskan buku teks yang digunapakai, dan dia berlepas diri daripada kegagalan anak didiknya itu. Begitulah juga Rasul, seperti dalam 2 ayat tadi.

 

Sambung baca, klik sini.

0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan