BulatanKami

Rotan: Mendidik bukan mendera


Sehari dua ini tiba-tiba heboh berkenaan isu rotan lantaran laporan media yang menukilkan kata-kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menyebut merotan anak boleh menjadi satu jenayah menerusi akta baru yang bakal menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001.

Pelbagai reaksi yang diberikan oleh masyarakat, yang kelihatannya majoriti membantahnya. Ada juga pihak yang dilihat cuba menggambarkan seakan merotan ataupun memukul anak merupakan satu tuntutan dalam pendidikan menurut ajaran Islam. Kenyataan mereka ini boleh memberikan gambaran yang salah tentang sifat Islam sebagai rahmat ke seluruh alam itu sendiri.

Lebih parah lagi, kenyataan seperti itu dibuat pada musim Islam ditohmah sebagai agama yang mengajar keganasan. Saya ingin menyebut beberapa perkara sebagai pandangan peribadi terhadap isu ini.
Pertama, apabila membaca laporan akhbar dengan tajuk “Rotan anak bakal jadi kesalahan jenayah” yang dikeluarkan oleh Utusan Malaysia semalam membuatkan diri terfikir beberapa soalan.

Adakah rotan anak itu merujuk kepada semua jenis pukulan atau hanya pukulan menggunakan rotan? Rotan yang dimaksudkan itu yang mencederakan anak atau semua jenis walau tak beri kesan pada fizikal dan mental? Apa ajaran Islam dalam hal memukul anak ini, atau lebih luas kaedah mendidik anak? Berapa ramai orang cuba memahami betul-betul perkembangan terbaru ini tanpa hanya merujuk tajuk akhbar untuk mengulas?

Islam menuntut kita supaya tidak mudah menerima sesuatu berita atau perkhabaran secara semberono tanpa mengkaji kesahihannya terlebih dahulu. Hal ini kerana kegopohan kita, sama ada dalam mengulas atau menyebarkannya boleh memberikan kemudaratan kepada kehidupan bermasyarakat atau imej seseorang individu itu sendiri.


Allah Ta’ala berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوْا أَنْ تُصِيْبُوْا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوْا عَلىَ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِيْنَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila datang kepada kalian orang fasiq dengan membawa berita, maka usul periksalah terlebih dahulu dengan teliti, agar kalian tidak menimpa suatu kaum dengan kebodohan, lalu kalian menyesal akibat perbuatan yang telah kalian lakukan.” – Surah al Hujurat, ayat 6

Imam Asy-Syaukani(wafat 1250H) rahimahullah mengulas ayat ini dalam tafsirnya Fathul Qadir: “Yang dimaksudkan dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan khabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya

Daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anh, Sabda Nabi Sollahu ‘alaihi wasallam:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ
Maksudnya: “Cukuplah seseorang dianggap pendusta ketika dia menceritakan (menyebarkan) setiap apa yang dia dengar.” - Hadis Riwayat Muslim

Menjelaskan hikmah larangan hadis ini kepada sesiapa jua untuk menceritakan segala yang dia dengari, al-Imam al-Nawawi(wafat 676H) rahimahullah berkata dalam Syarah Sahih Muslim:
Makna yang terkandung dalam hadis dan atsar(kata-kata yang disandarkan kepada selain Nabi seperti sahabat, tabi’in dan orang-orang sesudah mereka) yang terdapat dalam bab ini adalah tentang celaan dalam berbicara atau menyebarkan segala sesuatu yang didengari seseorang. Kerana sesuatu yang didengar biasanya mengandungi unsur kebenaran dan kedustaan (iaitu sesuatu yang tidak pasti). Sehingga, apabila dia berbicara dan memberitahu segala sesuatu yang dia dengar, maka dia berdusta jika mengkhabarkan sesuatu (yang pada hakikatnya) tidak terjadi”


Kedua, dalam kenyataan media Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat susulan timbulnya isu ini, antara lain menyebut: “Pada masa ini, peruntukan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Kanak-Kanak baharu bukanlah bermaksud supaya setiap perbuatan merotan menjadi kesalahan jenayah”

“Kementerian sedang meneliti dan memperhalusi cadangan untuk memasukkan peruntukan undang-undang yang lebih terperinci supaya apa-apa perbuatan kepada kanak-kanak sehingga menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi kepada kanak-kanak merupakan suatu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman penjara atau denda yang lebih tinggi. Di samping itu, Kementerian juga mempertimbangkan untuk mengadakan hukuman alternatif seperti khidmat masyarakat atau kaunseling atau kursus ke ibubapaan.”

Kenyataan penuh boleh dibaca di Facebook KPWKM: https://www.facebook.com/kpwkm/posts/10152540799196790

Ketiga, Islam meletakkan asas pendidikan itu dengan sifat rahmat dan kasih sayang. Kita boleh melihat bagaimana al-Quran mengajar satu doa untuk anak-anak mendoakan ibu bapa mereka, yang pada satu sudut psikologinya ia mengajar kita membesarkan dan mendidik anak dengan rahmat dan kasih sayang terlebih dahulu, sehingga anak-anak membalas dengan doa agar Allah merahmati dan menyayangi kita.

Allah Ta’ala berfirman:
وَٱخۡفِضۡ لَهُمَا جَنَاحَ ٱلذُّلِّ مِنَ ٱلرَّحۡمَةِ وَقُل رَّبِّ ٱرۡحَمۡهُمَا كَمَا رَبَّيَانِى صَغِيرً۬ا
Maksudnya: “Hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Limpahkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya semasa memelihara dan mendidikku semasa kecil.” – Surah al-Isra’, ayat 24

Namun, itu tidak bermakna sifat rahmat menafikan atau menolak hukuman merotan, yang mana ia boleh dilihat sebagai sifat tegas, lebih-lebih lagi jika kita memahami sosio-budaya sesuatu kaum atau kelompok masyarakat di sesuatu tempat.

Pada masa yang sama, kita mungkin boleh memahami mengapa timbul usaha untuk melarang memukul anak di Barat terutamanya, yang antara lain mungkin salah faham terhadapnya yang dianggap mencederakan anak-anak, atau memberikan kesan yang buruk kepada psikologi mereka.


Keempat, ramai yang menggunakan hujah yang berdalilkan hadis Nabi Sollahu ‘alaihi wasallam yang menyuruh kita memukul anak apabila mereka enggan menunaikan solat.

Daripada Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Nabi Sollahu ‘alaihi wasallam:
مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Maksudnya: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun, serta pisahkan tempat tidur mereka” – Hadis hasan, Riwayat Abu Daud

Hadis ini kebiasannya dilihat dari sudut fiqh sahaja, tanpa melihat dari segi psikologi dan kaedah pendidikan yang diajar oleh Nabi. Ibu bapa mempunyai masa tiga tahun untuk menyuruh anak menunaikan solat di samping mengajar dan menjelaskan mengapakah kita perlu menunaikan solat, yang pada pengamatan kita ia satu tempoh yang cukup panjang untuk membiasakan anak-anak dengan ibadah solat.

Sehari ada 5 kali waktu solat, bayangkan 3 tahun ada lebih 1800 waktu solat dilalui oleh anak-anak, yang jika ibu bapa mengingatkannya untuk bersolat sekerap mungkin sebanyak itu akan membuatkan ibadah solat itu cukup sebati dengan kehidupan mereka, malah berasa janggal untuk meninggalkannya.

Setelah cukup tempoh 3 tahun untuk mendidik mereka, barulah boleh memukul dengan tujuan peringatan, bukan melepaskan kemarahan dan jauh sekali mencederakan mereka. Pada sisi anak-anak, mereka boleh memahami kenapa mereka dipukul atau didenda kerana tidak menunaikan solat.

Oh, mama dengan abah dah kerap sangat dah suruh aku solat, berapa tahun lama dah diorang suruh aku solat, tapi aku malas. Tak pelik diorang nak denda

Maksudnya di sini, nabi tidak mudah menyuruh ibu bapa memukul anak-anak yang tidak bersolat. Sebaliknya, ada pra-syarat yang mesti dipenuhi iaitu menyuruh mereka bersolat dalam tempoh 3 tahun dengan sekerap mungkin.

Adalah satu kesilapan bagi ibu bapa yang tidak begitu menitikberatkan tentangi ibadah solat dalam kehidupan anak-anak, sehingga sampai satu masa nak merotan sebab mereka tak nak solat.
Kesimpulan yang ingin disebutkan di sini ialah:
1- Kita seharusnya bersifat ‘adil dalam menilai sesuatu pihak atau individu yang mengeluarkan kenyataan, agar kita tidak berkata apa yang dia tidak kata. Perlu dibuat kajian dan semakan menyuluruh akan topik atau bab berkenaan, agar ulasan kita lebih menyeluruh dan tidaknya kelihatan gopoh.

2- Kita bersetuju bahawa adanya keperluan untuk merotan anak-anak sebagai salah satu medium pendidikan, tetapi bukan untuk mencederakan fizikal, mental mahupun spiritual mereka. Harus dijelaskan akan rasional tindakan berkenaan agar ia tidak memberikan kesan yang negatif terhadap psikologi mereka.

3- Merotan ataupun tidak bukanlah segalanya dalam kegagalan pendidikan hari ini . Namun, ia berkaitan dengan sifat keibubapaan itu sendiri dalam membina seorang insan, baik dari sudut suasana yang positif, jelas hala tuju dalam pendidikan mereka, bab aqidah, pemikiran dan komunaksi, dan lebih besar iaitu teladan yang baik kepada mereka.

*Penulis ialah Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman, Ikhwah UIA Kuantan yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Siswa Nasional dan Pengarah strategi Hidayah Centre Pahang
0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan