BulatanKami

Erti hidup pada setia dengan kebenaran


Oh, kau petik pendapat Ibn Taimiyah? Wahabi kau ni!”, kata si A kepada sahabatnya dalam kelas fiqh 1.
Kenapa hang tak nak join PAS? Pelik semacam aku tengok hang ni, macam dah terpengaruh dengan gang liberal je”, kata si B kepada kawannya semasa perjalanan pulang dari himpunan kebangkitan rakyat.

Artikel ini dimulakan dengan kata-kata sedemikian dengan harapan para pembaca dapat berfikir apa kaitannya dengan tajuk yang diberikan.

Walau apa jua idea atau persoalan lain yang mungkin timbul, itu tidak penting, yang penting kita rajin untuk berfikir. Sebab, ada sesetengah orang yang tak rajin berfikir, hanya suka mengikut orang lain tanpa pemahaman atau menuruti nafsunya sesuka hati.
Pendidikan, berfikir dan hidayah
Dalam kehidupan ini, antara persoalan asas yang kita akan terfikir dan menjawab adalah apa yang benar, apa yang salah, yang sering dikaitkan atau dimasukkan dalam falsafah. Pertanyaan ini akan membawa kita kepada soalan yang lain iaitu siapa atau apa yang menentukan mana yang benar dan salah itu.

Sekiranya kita gagal menjawab soalan ini, atau tidak mampu menjelaskannya dengan baik kepada keluarga, sahabat handai mahupun masyarakat, ia adalah detik permulaan kepada kecelaruan dalam hala tuju kehidupan ini, biarpun kita bercakap tentang Islam adalah agama yang benar.

Siapa yang boleh kata agama tu benar atau salah?

Manusia diberikan kelebihan berbanding ciptaan Tuhan yang lain iaitu kurniaan aqal untuk berfikir. Aqal berfungsi sebagai alat untuk kita menerima dan memproses petunjuk yang datang daripada pelbagai rupa dan rasa.
Ada orang menemui kebenaran dengan kebaikan budi pekerti yang diperlakukan oleh orang lain pada dirinya, ada pula melalui pembacaan dan penelitian terhadap setiap patah perkataan yang masuk ke dalam fikirannya, tidak kurang juga yang memerhati dan mengkagumi akan kehebatan alam yang sangat hebat ini.

Kegagalan kita membina dan membentuk aqal kita dengan baik akan membawa kepada kepincangan dalam cara kita berfikir, yang dimanifestasikan dengan tindakan mahupun ucapan. Maka, kita tidak pelik dengan gelagat sebahagian insan, yang kita mungkin rasakan ia seperti bodoh atau bangang.

Bukannya kerana dia kurang cemerlang dalam akademik atau mendapat bilangan ‘A’ yang sedikit dalam peperiksaan, namun itulah kesan pendidikan yang tidak berjaya membentuk peribadi yang kritis. Ramai sahaja mereka yang berjaya dalam hidup walaupun mereka tidak bagus dalam akademik, tetapi mereka sedar ia bukanlah segalanya dalam menentukan masa depan.

Mencari jawapan kepada persoalan
Seperti mana yang telah dijelaskan tadi akan kepentingan untuk menjawab persoalan asas dalam memahami kehidupan ini, kita sedar aqal yang berfungsi dengan baik akan mengeluarkan jutaan persoalan, yang sebahagian besarnya mesti dijawab melalui pencarian dan kajian. Dan, proses itu berjalan dan terus berjalan tanpa henti dengan membaca dan mendengar.

“Why I have wear hijab? Why we have to pray five times a day? I do not want wasting my time to do so”, tanya seorang anak datin kepada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Soalan itu bukannya soalan yang menuntut kita memberikan kita dalil daripada al-Quran dan hadis, mahupun kalam ‘ulama akan kewajipan menutup aurat dan solat, namun ia adalah simptom kepada persoalan pokok yang tidak terjawab, iaitu perlukah manusia kepada Tuhan.

Siapakah aku? Siapakah Allah? Apa tujuan aku hidup di dunia ni?

Budaya membaca dan kritis
Mungkin di situlah salah satu hikmah tersirat di sebalik perintah Allah ‘Azza Wa Jalla kepada kita dalam wahyu pertama kepada junjungan besar Nabi Muhammad Sollallahu ‘alaihi wasallam, agar kita membaca dengan nama tuhan yang menciptakan segalanya.

Ilmu dan maklumat itu yang sangat rapat dengan perkataan sangat banyak dan luas di luar jangkauan dan sangkaan kita. Oleh sebab itu, orang yang banyak membaca mempunyai kosa kata yang banyak, memberikannya modal berfikir yang lebih untuk meneroka perkara baru yang tidak difahami atau diketahuinya.

Banyak perkara yang kita tidak ketahuinya bukan kerana ia disembunyikan atau disekat, tetapi kegagalan kita untuk memanfaatkan masa lapang untuk membaca yang membawa kita kepada Tuhan.

Firman Allah Ta’ala:
قُل لَّوۡ كَانَ ٱلۡبَحۡرُ مِدَادً۬ا لِّكَلِمَـٰتِ رَبِّى لَنَفِدَ ٱلۡبَحۡرُ قَبۡلَ أَن تَنفَدَ كَلِمَـٰتُ رَبِّى وَلَوۡ جِئۡنَا بِمِثۡلِهِۦ مَدَدً۬
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah seluruh lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan” – Surah al Kahfi, ayat 109

Selain itu, membaca bahan-bahan ilmiah memberikan kita peluang bermain dengan fikiran berbanding perasaan. Ada sahaja perkataan yang tidak pernah kita baca atau dengar, atau ada sahaja ilmu atau maklumat yang membuatkan kita tertanya-tanya pelbagai persoalan. Budaya membaca membentuk peribadi yang kritis, yang bukan sahaja beragama dengan akal yang sihat, tetapi juga menuntut ilmu secara berobjektif.

Isteri Rasulullah Sollahu ‘alaihi wasallam, iaitu ‘Aisyah binti Abu Bakr radiallahu ‘anhuma adalah seorang yang kritis dan banyak mempersoalkan hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat, yang paling banyak menjadi sasaran kritikan ‘Aisyah ialah Abu Hurairah. Khazanah ilmu ini dibukukan dengan jawapan kepada kritikan itu oleh Sheikh Badruddin Muhammad bin Bahadur az-Zarkasyi (Wafat 794H) dalam kitab beliau bertajuk “al-Ijabah li-irad ma istadrakathu ‘Aishah ‘ala as-Sahabah”.

Insaf dalam penilaian
Kita memang meyakini akan Islam sebagai agama yang diwahyukan oleh Tuhan kepada kita melalui tunjuk ajar utusan-Nya dan Jibril yang menyampaikan wahyu-Nya. Namun, kita tidak akan pernah menolak sejarah hitam, yang akan tetap dikenang sepanjang zaman melibatkan para sahabat nabi radiallahu ‘anhum.

Konflik pertelingkahan para sahabat yang bermula dengan peristiwa pembunuhan Sayyidina Uthman ibn ‘Affan, sehingga berlakunya Perang Jamal antara kelompok Khalifah Ali bin Abu Talib dan ‘Aisyah radiallahu ‘anhum yang mengorbanankan Talhah ibn ‘Ubaidilllah dan Az-Zubair ibn Awwam, kemudiannya Perang Siffin antara Khalifah Ali bin Abu Talib dan gabenor Syam, Mu’awiyah ibn Abu Sufyan radiallahu ‘anhuma memberikan seribu pengajaran kepada kita umat Islam.

Dalam usul ke-6 yang digariskan oleh Imam Hasan Al-Banna rahimahullah dalam usul 20, kata beliau:
وَكُلُّ أَحَدٍ يُؤْخَذْ مِنْ كَلاَمِهِ وَيُتْرَكْ إلا الْمَعْصُوْمَ صلي الله عليه وسلم وَكُلُّ مَا جَاءَ عَنِ السَّلَفِ رِضْوَانُ الله عليهم مُوَافِقًا لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ قَبِلْنَاهُ وإلا فَكِتَابَ اللهِ أولي باِلإِتِّباَعِ ولكِنَّا لا نَعْرِضْ للأشْخَاصِ- فيماَ اخْتُلِفَ فيه بِطَعْنٍ أو تَجْريِحْ ٍ وَنَكِلَهُمْ إلى نِيَّا تِهِمْ وقد أفْضُوا إلي مَا قَدَّمُوا
Maksudnya: “Setiap orang boleh diterima dan ditolak kata-katanya melainkan Rasulullah SAW yang maksum. Setiap yang datang dari golongan salaf yang diredhai Allah yang bertepatan dengan Kitab Allah dan Sunnah RasulNya kita terima dengan sebulat hati. Namun, jika ia berlawanan dengannya maka Kitab Allah dan Sunnah RasulNya lebih utama diikuti. Walau bagaimanapun kita tidak sekali-kali mengecam atau mendedahkan keburukan peribadi-peribadi sesiapa dalam masalah yang diperselisihkan. Kita hanya berserah kepada niat hati mereka. Sesungguhnya mereka berlalu dengan apa yang mereka lakukan

Maka, kita dapat difahmi di sini bahawa selain Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam tidak terlepas dari melakukan dosa dan maksiat. Kita menghormati dan mengkagumi perjuangan para sahabat nabi radiallahu ‘anhum dalam menegakkan Islam, namun kita mengakui mereka mungkin melakukan salah dan silap, atas lumrah sebagai seorangi insan, termasuk mereka yang terlibat dalam dua peperangan tersebut.

Begitulah juga dengan para ilmuan atau ‘ulama, mereka juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam berijtihad dan berfatwa. Namun, itu sama sekali bukanlah lesen untuk kita berlaku biadap dengan mereka. Budaya kritis untuk berfikir dan bertanya memang sesuatu yang baik, namun adab perlu dijaga dengan bahasa yang sopan dan penggunaan perkataan yang sesuai.

Hidup dalam kepelbagaian
Allah ‘Azza Wa Jalla menciptakan manusia dalam banyak kelompok, kaum, budaya dan cara hidup. Yang mana, antara hikmahnya adalah untuk saling mengenali satu sama lain. Ada saja perkara yang dapat kita belajar daripada orang yang lain bahasa, budaya, warna kulit dan tempatnya.

Walaupun seorang manusia itu beragama dengan pegangan selain Islam sekalipun, pasti ada sesuatu yang kita boleh belajar daripadanya. Bukan untuk menyatakan semua agama sama, tetapi mengakui kebenaran sebagai kebenaran meskipun ada banyak perbezaan ketara dan besar dari sudut teologi. Pendekatan dialog dan perbincangan bukan setakat dapat lebih memahami satu sama lain atau lain kata kita berdakwah kepadanya, tetapi juga menguatkan aqidah yang kita yakini kebenarannya. Budaya sebegini dapat mengurangkan jurang dan salah faham, malah lebih besar ketegangan atau permusuhan antara agama.

Berlakunya perpecahan mazhab dalam agama pula mestilah difahami akan sejarahnya. Mengapa ia berlaku? Adakah ia sesuatu yang tidak sepatutnya, atau bagaimana? ‘'

Malah, kita perlu belajar apakah latar belakang pemikiran sesuatu mazhab atau fahaman itu, agar kita berlaku ‘adil dalam berbicara tentang mereka. Apabila mereka menyatakan kebenaran, maka kita mengiyakannya. Bukannya menolak mentah-mentah hanya kerana mereka termasuk dalam kelompok minoriti yang ditolak.
Dengan memahami sejarah, selain mengaplikasikan ilmu psikologi dan sosiologi, kita sepatutnya dapat saling menghormati dan berlapang dada dalam menghadapi perbezaan mazhab dan ideologi.

Bukannya saling menyindir antara satu sama lain di laman sosial yang tidak memberikan manfaat kepada ummah. Sekiranya ada yang membaling batu, tidak perlulah kita membalasnya. Sebaliknya, dibalas dengan akhlak yang baik.

Penutup
Dalam membawa misi perubahan dalam masyarakat, daripada mengamalkan Islam yang bersifat turun temurun atau budaya kepada Islam yang sebenar yang selari dengan nas tanpa menolak nas, seorang pendakwah perlu mempelajari ilmu sejarah, ilmu kesusasteraan & bahasa, kemanusiaan, sains dan hal ehwal semasa seperti yang ditekankan oleh Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya “Thaqafah Ad-Da'iyah”.

Cabaran untuk setia dengan kebenaran bukanlah sekadar untuk kekal berpegang pada prinsip-prinsip asas, tetapi lebih pada itu untuk bersikap ‘adil dalam menilai dan menerima kebenaran daripada pelbagai individu dan kumpulan, termasuk mereka yang dianggap musuh Islam, kerana ada ilmu yang dikuasai oleh mereka berbanding kita yang menuntut kita belajar dengan mereka.

Sama-samalah kita terus menerus berdoa agar sentiasa diberikan petunjuk oleh Allah untuk kekal setia dengan kebenaran. Sebab, belum tentu berada atas kebenaran pada hari ini menjamin kita berada di pihak yang benar pada hari mendatang.

Berikut adalah antara doa yang boleh kita amalkan yang diungkapkan oleh Nabi Sollahu ‘alaihi wasallam dalam solat ketika doa iftitah, yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radiallahu ‘anha:
اللَّهُمَّ رَبَّ جَبْرَائِيلَ وَمِيكَائِيلَ وَإِسْرَافِيلَ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ
عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ
أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
اهْدِنِي لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنْ الْحَقِّ
بِإِذْنِكَ إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Malaikat Jibril, Mikail dan Israfil, Tuhan pencipta langit dan bumi, Tuhan yang Maha Mengetahui semua yang ghaib dan nyata. Engkaulah yang akan menghakimi para hamba-Mu mengenai apa sahaja yang mereka perselisihkan. Dengan izin-Mu berilah aku petunjuk memilih kebenaran dari apa yang mereka perselisihkan. Engkaulah yang memberi petunjuk kepada siapa yang Engkau kehendaki ke jalan yang lurus” – Hadis Riwayat Muslim


*Penulis ialah Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman yang merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, IKRAM Siswa Nasional dan Pengarah strategi Hidayah Centre Pahang
0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan