Isu Dr Asri dan Ust Kazim: Setia dengan kebenaran

Saya baru selesai menonton video rakaman rancangan Pentas Dakwah yang disiarkan secara langsung Selasa lepas di TV al Hijrah.

Menampilkan Al-Fadhil Al-Ustaz Sohibus Samahah Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin(Mufti Perlis), al-Ustaz Dato' Kazim Elias(Pendakwah bebas) dan al-Ustaz Dr Asyraf Wajdi Dasuki(Yang dipertua YADIM) hafizuhumullah.

Tajuk yang diletakkan bagi forum ini ialah "Carik carik bulu ayam", yang dibawa rentetan perbezaan pendapat antara Dr Asri dan Ustaz Kazim.

1. Perlu ditegaskan di sini, ketiga-tiga tokoh ini mempunyai aura, kekuatan, sumbangan dan kelemahan tersendiri. Oleh sebab mereka bukan maksum, maka mereka tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan dalam berkata-kata dan bertindak tanduk.

2. Kita fokus pada kesalahan, bukan pelaku salah. Maka, kita tidak sepatutnya merendahkan sesiapa, apatah lagi seorang ilmuan yang banyak jasa dan sumbangannya dalam mendidik masyarakat. Janganlah hanya kerana satu dua kesalahan, kita lupakan ratusan kebaikan yang telah beliau titipkan untuk maslahah agama dan negara.

3. Kepelbagaian yang wujud dalam golongan pendakwah hakikatnya adalah satu rahmat, kerana mereka sebenarnya saling melengkapi satu sama lain, dalam menghadapi target masyarakat dan kumpulan yang berbeza.

4. Perbezaan itu sendiri adalah lumrah kehidupan, kerana manusia mempunyai "free-will" atau kebebasan memilih, yang menjadikan wujudnya perbezaan yang kadangkala agak ketara.

5. Walau bagaimanapun, yang penting untuk kita fokus bukanlah perbezaan itu, tetapi bagaimana hendak menguruskan perbezaan itu.

6. Di sinilah betapa penting yang untuk berpegang teguh dengan panduan asas dan utama agama, iaitu Kitab dan as Sunnah. Semua perkataan atau kata-kata boleh diterima dan boleh ditolak, seperti kata Imam Malik bin Anas r.a, kecuali firman Allah dan sabda Rasulullah SAW.

7. Harapan peribadi saya agar diskusi dan wacana yang melibatkan para ilmuan agama dan asatizah dibanyakkan lagi, bagi menyemarakkan lagi dakwah dan islah berteraskan ilmu dan hujah di Malaysia.

8. Dinukilkan kata Imam As Syafi'e yang disebut oleh Dr Asri, maksudnya:
"Aku tidak pernah berbicara kepada seorangpun melainkan aku berharap agar dia ditetapkan dan ditolong dalam mencari kebenaran, serta menjadikan pembicaraanku tadi sebagai petunjuk dan bimbingan Allah kepadanya. Dan aku tidaklah peduli – saat berbicara pada seseorang – apakah Allah akan memberikan kebenaran melalui lisanku atau lisan orang lain” (Kitab Adab asy-Syafi’e wa Manaqibuhu oleh Ibnu Abi Hatim)

9. Selain itu, ukhuwah antara para pendakwah, tidak kiralah dari pihak mana, mahupun bebas, hendaklah terus menerus dijaga malah dikuatkan. Tautan hati para du'at ini tidak dapat dicapai, melainkan dengan pembersihan jiwa untuk saling mencintai satu sama lain kerana Tuhan dan aqidah yang satu.

"Akhlak | Khidmat | Ukhuwah"

Raja Ahmad Kamil Raja Sulaiman
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah,
IKRAM Siswa Nasional
0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan