BulatanKami

Penyebaran hadith palsu dan kesannya dalam kehidupan Muslim


Oleh: Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman

1. Antara punca munculnya golongan yang mencipta hadith palsu ialah sikap masyarakat yang meninggalkan al-Quran. Nuh bin Abu Maryam telah mencipta hadith berkaitan fadhilat membaca surah-surah al-Quran.

Abu Ismah Nuh bin Abi Maryam atau yang lebih dikenali sebagai Nuh al-Jami’. Beliau sendiri membuat pengakuan bahawa beliau mencipta hadith palsu bahawa kononnya riwayat itu dari Ibnu Abbas, menjelaskan tentang fadhilat surah-surah di dalam al-Quran, satu surah demi satu surah yang lain. Dengan suatu tujuan yang zahirnya kelihatan baik, iaitu untuk menggalakan orang ramai melakukan kebaikan dan membenci kejahatan, orang-orang seperti Nuh al-Jami’ ini mereka-reka riwayat palsu dan menisbahkannya kepada Nabi SAW. Ketika Nuh al-Jami’ ditanya tentang sebab beliau mengada-adakan riwayat palsu berkenaan, beliau menjawab, “Aku lihat orang ramai telah meninggalkan al-Quran, dan sebaliknya mereka sibuk mempelajari Fiqh Abu Hanifah serta Maghazi Ibn Ishaq. Kerana itulah aku mencipta hadith tentang kelebihan surah-surah di dalam al-Quran untuk mengembalikan manusia kepada al-Quran!” [Al-Maudhu’aat oleh Ibn al-Jauzi, 1:240]


2. Contoh hadith palsu yang pernah hangat diperkatakan ialah: "Barang siapa berpuasa 2 hari di awal Rejab seakan ibadah 2 tahun. Barang siapa mengingatkan orang lain tentang ini, seakan ibadah 80 tahun" dan juga beberapa hadith yang menyebut fadhilat yang melampau dan berlebihan bagi amalan dalam bulan Rejab.
Tiada hadith yang sahih mengatakan fadhilat amalan khusus dalam bulan Rejab. Tiada masalah untuk beramal dengan ibadah sunat biasa seperti puasa isnin dan khamis, qiamullail, bacaan Quran dan wirid yang tsabit daripada Nabi SAW.

3. Sebahagian golongan yang mempertahankan tindakan mencipta dan menyebarkan hadith palsu mengatakan mereka bukan berdusta ATAS nama Nabi tapi UNTUK nabi. Agama ini telah sempurna. Nabi tidak memerlukan sesiapa untuk memperkatakan sesuatu BAGI pihak baginda.

4. Berdusta atas nama nabi SAW hukumnya dosa besar.
Daripada al-Mughirah bin Syu'bah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ نِيحَ عَلَيْهِ يُعَذَّبُ بِمَا نِيحَ عَلَيْهِ

Maksudnya: "Sesungguhnya berdusta kepadaku tak sama dengan orang yang berdusta atas orang lain. Barangsiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka hendaklah dia bersiap-siap (mendapat) tempat duduknya di neraka. Aku juga mendengar Nabi SAW bersabda: Barangsiapa yang meratapi mayat maka mayat itu akan diseksa disebabkan ratapan kepadanya" - Hadith riwayat al-Bukhari


5. Antara kesan hadith palsu ialah:

5.1 Seseorang insan itu kelihatan baik akhlaknya dengan manusia, namun hakikatnya akhlaknya buruk dengan Allah dan Rasul-Nya. Dalam bahasa lain, dia kelihatan beradab dengan manusia, tapi biadap dengan Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah 'Azza Wa Jalla:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُقَدِّمُوا بَيْنَ يَدَيِ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului( memandai-mandai melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."- Surah al-Hujurat, QS49:1

Daripada Mu’adz bin Jabal RA, dia berkata:

كُنْتُ رَدِيْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى حِمَارٍ فَقَالَ لِيْ: (يَا مُعَاذُ أَتَدْرِيْ مَا حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ، وَمَا حَقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللهِ؟ قُلْتُ: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: (حَقُّ اللهِ عَلَى الْعِبَادِ أَنْ يَعْبُدُوْهُ وَلَا يُشْرِكُوا بِهِ شَيْئاً، وَحَقُّ الْعِبَادِ عَلَى اللهِ أَنْ لَا يُعَذِّبَ مَنْ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئاً) قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ أَفَلَا أُبَشِّرُ النَّاسَ؟) قَالَ: (لَا تُبَشِّرْهُم فَيَتَّكِلُوا)

Maksudnya: “Aku pernah dibonceng oleh Nabi SAW di atas seekor keldai, lalu baginda bersabda kepadaku, ‘Wahai Mu’adz, tahukah enfkau apa hak Allah terhadap para hamba dan apa hak para hamba atas Allah?' Aku menjawab, ‘Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.’ Baginda pun menjawab, ‘Hak Allah terhadap para hamba ialah mereka beribadah kepada-Nya semata dan tidak berbuat syirik sedikit pun kepada-Nya, sedang hak para hamba atas Allah adalah bahawa Allah tidak akan mengazab orang yang tidak berbuat syirik sedikit pun kepada-Nya.’ Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, tidakkah aku (perlu) menyampaikan khabar gembira (ini) kepada manusia?’ Baginda menjawab, ‘Janganlah engkau menyampaikan khabar gembira ini kepada mereka (kerana bimbang) mereka nanti akan bersikap menyandarkan(bersenang) diri” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim

5.2 Melahirkan ramai pendusta atas nama agama.

Daripada Abu Hurairah RA, Sabda Nabi SAW:

كفى بالمرءِ كذبًا أن يُحَدِّثَ بكلِّ ما سمِع

Maksudnya: "Sudah mencukupi seseorang itu dianggap sebagai berdusta apabila dia menceritakan setiap yang dia dengar” - Hadith riwayat Muslim

Al-Imam Ibnu Hibban RH memberi komen terhadap hadith ini berkata di dalam kitab adh-Dhu’afa’, jilid 1, ms. 33. [Ar-Rasaa-il karya Yazid Abdul Qadir Jawas, jld. 1, ms. 68]: "Di dalam hadith ini ada ancaman bagi seseorang yang menyampaikan setiap apa yang dia dengar sehingga dia tahu dengan seyakin-yakinnya bahawa hadith atau riwayat itu sahih"

Menjelaskan hikmah larangan hadith ini kepada sesiapa jua untuk menceritakan segala yang dia dengari, al-Imam al-Nawawi rahimahullah berkata dalam Syarah Sahih Muslim[jilid. 1, ms. 199]:
"Makna yang terkandung dalam hadith dan atsar(kata-kata yang disandarkan kepada selain Nabi seperti sahabat, tabi’in dan orang-orang sesudah mereka) yang terdapat dalam bab ini adalah tentang celaan dalam berbicara atau memberitahukan segala sesuatu yang didengari oleh seseorang. Kerana sesuatu yang didengar biasanya mengandungi unsur kebenaran dan kedustaan (iaitu sesuatu yang tidak pasti). Sehingga, apabila dia berbicara dan memberitahu segala sesuatu yang dia dengar, maka dia telah berdusta jika mengkhabarkan sesuatu (yang pada hakikatnya) tidak terjadi"


5.3 Amalan ibadah khusus tertolak.

Daripada 'Aisyah RA, nabi SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ.

Maksudnya: "Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan kami ini apa yang tidak(memiliki asal-usul) darinya maka ia tertolak" - Hadith riwayat Muslim

Ada yang menggunakan akal fikiran yang tidak kena pada tempatnya. "Salah ke beribadah dengan apa nabi tak buat?". Antara persoalan yang boleh dibalas terhadap soalan ini ialah, "Semua ibadah yang nabi dah ajar dah buat ke?".

5.4 Islam kelihatan buruk pada pandangan Non-Muslims.

Kewujudan sesetengah hadith palsu yang matannya berbunyi pelik dan tidak masuk akal, akan memburukkan nama Islam pada pandangan non Muslims. Ia sangat mencemarkan kesucian agama yang mulia ini. Akibatnya, sebahagian mereka hilang minat untuk mengetahui atau mendalami tentang agama yang benar ini.


6.. Peranan 'ulama zaman berzaman dalam menangani hadith palsu.

6.1 Mafhum kalam Sufyan at-Thauri: "Malaikat adalah penjaga di langit, sedangkan 'ulama hadith adalah penjaga agama di bumi"

6.2 Para 'ulama mengeluarkan ilmu usul al-hadith dan qawaid untuk mempelajari dan menilai hadith sebagai panduan zaman berzaman.

6.3 Imam Malik bin Anas rahimahullah antara 'ulama terawal mengumpukan hadith dalam kitabnya al-Muwatto'

6.4 Usaha 'ulama hadith mentahqiq kitab 'ulama lain bagi mengenal pasti hadith yang tidak sahih yang terdapat di dalam kitab berkenaan, seperti kitab Ihya 'Ulum ad-Din.

6.5 Mengumpul rawi yang dikira pendusta dan tertolak.

6.6 Mengamalkan disiplin ilmu. Jujur dengan memberitahu sumber, juga memberitahu sekiranya tidak tahu sumber sesuatu kisah yang diceritakan.

6.7 al-Fadhil al-Ustaz Dr Abdul Basit mencadangkan bagi yang ingin membuat thesis PhD agar membuat tajuk "Penyebar hadith palsu zaman moden" iaitu jarh wa ta'dil.


7. Kesimpulan:

7.1 Umat Islam mesti berusaha mempelajari ilmu hadith dan beramal dalam agama berpandukan dalil. Sekiranya asatizah menyebutkan sesuatu tanpa dalil, bertanyalah kepada mereka. Usah terima bulat-bulat secara membuta tuli. Rajin semak sesuatu akan sumbernya sebelum sebarkan.
Amalkan budaya "Read, Check, Copy, Paste" Bukan "Read, Copy, Paste".

7.2 Dekati dan pelajarilah dengan 'ulama atau asatizah yang al-Quran dan hadith tidak lekang dalam bait-bait ceramah atau kata-kata mereka.

7.3 Sama-sama kita pertahankan kedaulatan nabi kita SAW daripada hadith yang direka dan diubah, kononnya untuk mempertahankan agama, tetapi hakikatnya ia mencemarkan dan merosakkan agama.

7.4 Jangan sempitkan pemikiran. Kita menghormati 'ulama dengan sumbangan yang besar terhadap agama, tetapi bukan mensucikan mereka. Mereka tidak maksum. Pasti ada salah dan silap, yang mana mesti ditegur dan dikritik, tetapi dengan adab dan hikmah. Bukan celaan dan hinaan.

Akhir kalam, dinaqalkan sebuah hadith daripada nabi SAW yang penting untuk panduan kita bersama.
Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

يكون في آخر الزمان دجالون كذابون, يأتونكم من الأحاديث بمالم تسمعوا أنتم ولا آباؤكم وإياهم لا يضلو نكم ولا يفتنونكم

Maksudnya: "Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal pendusta, yang memberitahu kamu tentang hadith yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Berhati-hatilah dengan mereka, agar mereka tidak menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah" - Hadith riwayat Muslim

Wallahua'lam.

*Penulis merupakan pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Matematik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kampus Kuantan, Pahang. Blog peribadi beliau: http://ordinaryguy92.wordpress.com/

*Artikel ini adalah ringkasan Forum Darul Hadith: "Penyebaran hadith palsu dan kesannya dalam kehidupan muslimin" di Sekolah al-Irsyad, Batu 3, Kuantan pada  27 April 2014. Bersama al-Fadhil al-Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman, Ustaz Mohd Khairil Anwar dan Ustaz Nasrullah hafizahumullah.
0 Comments
Comments
Tweets

0 comments:

Catat Ulasan